Kota Kinabalu
Kota Kinabalu
Sandakan
Tawau
Lahad Datu
Keningau
Putatan
Semporna
Kudat
Papar
Ranau
Beaufort
Kota Belud

Sayang Sabah - Berita Negeri Kita

SMK St. Mary Limbahau Mara Ke Separuh Akhir Pertandingan Petrosains Kebangsaan

petrosains

KOTA KINABALU : Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) St. Mary, Limbahau, Papar, hari ini mengalahkan tujuh sekolah lain dari seluruh Sabah dalam Pertandingan Pertunjukan Sains Petronas peringkat negeri 2015 untuk mara ke pusingan separuh akhir tahun ini di Kuala Lumpur.

Tema kestabilan yang dipilih sebagai konsep pasukan itu berjaya memikat hati panel hakim dalam pertandingan tersebut anjuran Discovery Centre Suria KLCC Petrosains itu di Playsmart Perpustakan Negeri Kota Kinabalu di sini.

Anggota pasukan sekolah itu, Darren Matthew Henry dan Edward Bernadus, kedua-duanya pelajar tingkatan empat, menyuarakan perasaan terkejut kerana diumumkan sebagai pemenang.

“Kami tidak pernah menjangka akan menang. Kami hanya ingin bergembira dan berhibur di atas pentas. Pertandingan ini boleh memberi lebih banyak pendedahan kepada pelajar dan mendorong mereka untuk mengambil bahagian serta mepelajari lebih banyak tentang sains,” kata Darren apabila ditemui selepas pertandingan itu.

Pertandingan ini, yang diadakan Petrosains sejak 2009 serta disokong Kementerian Pendidikan dan Bank Islam, bertujuan mempopularkan mata pelajaran sains dan menggalakkan kaedah pengggunaan pembelajaran tidak formal di sekolah menengah.

Dalam pertandingan ini, setiap pasukan dikehendaki membuat persembahan selama 15 minit, dengan memberi fokus kepada konsep sains yang mereka pelajari di sekolah serta mengadakan demonstrasi mengenai sesuatu teori secara individu atau secara berpasukan, yang terdiri daripada dua orang.

Jurulatih SMK St Mary, yang juga guru sains sekolah itu, Siti Khalilah Daud berkata beliau mendapat ilham mengenai konsep yang digunakan pasukan itu daripada program kesihatan Jom Kurus 1Malaysia (JK1M).

Sementara itu, Norhana Hamim, ketua Petrosains Playsmart Kota Kinabalu, yang menganggotai panel hakim bersama wakil daripada Bank Islam, Jabatan Pendidikan Negeri dan Petrosains, berkata pemenang dipilih berdasarkan kaedah persembahan oleh seorang daripada anggota sesuatu pasukan yang berpakaian seperti orang tua sambil menerangkan kepada cucunya tentang konsep kestabilan.

“Terdapat peningkatan besar dari segi kualiti dalam persembahan tahun ini berbanding tahun-tahun sebelumnya dari segi demonstrasi, topik, konsep dan gaya persembahan,” katanya.

Pertandingan tahun ini menerima penyertaan paling banyak sejak diperkenalkan enam tahun lepas, dengan 900 penyertaan semuanya, termasuk daripada 50 sekolah di Sabah. Lapan pasukan akan bertanding pada peringkat akhir di Kuala Lumpur Oktober ini.

— BERNAMA

Komen


Berita Berkaitan