Sayang Sabah Facebook

Likes
Sayang Sabah Twitter

12,504

Followers

Sayang Sabah - Portal Berita Negeri Kita

SMA Kunak akan dinaiktaraf penuhi keperluan masyarakat Islam: Mohd Ariffin

8:49am 06/06/2014 Pak Roshan 113 views Tawau,Tempatan

SMUK

KUNAK: Sekolah Menengah Agama (SMA) Kunak akan dinaikkan taraf dalam masa terdekat bagi memenuhi permintaan dan keperluan masyarakat Islam di kawasan tersebut.

Pembantu Menteri Di Jabatan Ketua Menteri, Datuk Mohd. Ariffin Mohd. Arif berkata, sekolah berkenaan menerima permintaan yang tinggi daripada pelajar dan ibu bapa untuk bersekolah di sekolah itu setiap tahun.

“Permintaan kemasukan pelajar ke tingkatan satu di sekolah berkenaan melebihi 100 orang setiap tahun sedangkan sekolah itu hanya mampu menerima pelajar baru untuk satu kelas sahaja,’’katanya selepas merasmikan Masjid Al-Muttakiqn Kg. Sungai Atas di sini kelmarin.

Sehubungan itu katanya, pihaknya akan berusaha menaiktaraf sekolah berkenaan kerana agenda memperkasa sekolah agama antara Indeks Prestasi Utama (KPI) kementeriannya.

Selain daripada itu beliau berkata, Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sabah (JHEAINS) akan menambah guru-guru di sekolah bawah jagaannya.

“Kita sedar JHEAINS menghadapi kekurangan guru di seluruh sabah, perkara ini telah saya maklumkan kepada ketua Menteri Sabah,’’katanya lagi.

Ariffin juga berkata, kerajaan negeri telah bersetuju untuk membina sebuah bangunan JHEAINS di daerah ini untuk kemudahan umat Islam berurusan mengenai masalah Islam di daeah berkenaan.

Mengulas mengenai permintaan agar JHEAINS menaik taraf beberapa surau menjadi masjid di beberapa kawasan perkampungan daerah ini bagi memudahkan penduduk Islam mengerjakan Solat Jumaat beliau berkata, pihaknya akan membawa perkara tersebut kepada pihak atasan untuk diteliti.

Dalam majlis itu, beliau turut mengumumkan pembinaan dua buah masjid baru di Kampung Getah dan Kg. Airport yang bernilai RM300 ribu dan bakal memberi kemudahan kepada kira-kira 1,000 penduduk Islam di kampung tersebut.

Pada masa yang sama, Ariffin mengingatkan Jawatankuasa Masjid agar berhati-hati memberi kebenaran orang yang hendak menyampaikan ceramah di masjid jagaan mereka.

“Kita tidak mahu ada orang mengambil kesempatan menggunakan masjid untuk mengembangkan ajaran yang bertentangan dengan apa yang kita amalkan,’’katanya lagi.

Jawatankuasa masjid katanya perlu mendapatkan kebenaran dari mana-mana pejabat mufti bagi yang hendak menyampaikan ceramah di kawasan mereka dan mempunyai tauliah untuk berceramah.

Apa Komen dan Pendapat Anda

Artikel Berkaitan