Kota Kinabalu
Kota Kinabalu
Sandakan
Tawau
Lahad Datu
Keningau
Putatan
Semporna
Kudat
Papar
Ranau
Beaufort
Kota Belud

Sayang Sabah - Berita Negeri Kita

SKMM tutup 500 laman web

skmm

Kuala Lumpur: Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) menutup 500 laman web dalam tempoh suku pertama tahun ini, termasuk sebahagiannya yang menganjurkan perjudian internet.

Pengerusi SKMM, Datuk Mohamed Sharil Tarmizi, berkata tindakan menutup laman itu diambil kerana menyalahi pelbagai undang-undang negara, termasuk perjudian internet.

“Tahun lalu sahaja, sebanyak lebih 2,000 laman web ditutup kerana melanggar undang-undang negara walaupun ia bukan satu kesalahan di negara pengendali utama.

“Isu judi sebenarnya di bawah kawalan polis, manakala SKMM berfungsi sebagai membantu siasatan.

“Agak sukar nak menganggarkan jumlah tepat laman atau talian judi yang wujud kerana mereka boleh ‘muncul’ begitu saja.

“Perlu ditekankan juga bukan semua talian yang betul-betul menyediakan khidmat judi, ada juga laman judi yang dikesan sebenarnya beroperasi untuk mencuri maklumat peribadi orang ramai,” katanya kepada BH.

Mohamed Sharil berkata, SKMM menghadapi kesukaran membendung kegiatan perjudian internet jika pelayan utamanya berada di luar negara.

“Nasihat kami pada orang ramai, jangan melayari laman judi kerana bukan sahaja merugikan tetapi lebih bahaya lagi, ada sindiket yang mungkin mengumpul maklumat peribadi anda. Lebih serius lagi, maklumat kewangan seperti kad kredit atau butiran perbankan jatuh ke tangan sindiket,” katanya.

Sementara itu, Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Nadzim Johan mencadangkan agar SKMM diberi mandat yang lebih luas untuk mengesan dan mengambil tindakan undang-undang secara terus terhadap pusat siber yang menganjurkan operasi perjudian internet ini.

“Penguatkuasaan lebih mudah jika SKMM diberi kuasa untuk mengesan, menangkap pengguna siber, penganjur dan mana-mana individu yang menyalah guna talian untuk kegiatan seperti ini,” katanya.

Komen


Berita Berkaitan