Kota Kinabalu
Kota Kinabalu
Sandakan
Tawau
Lahad Datu
Keningau
Putatan
Semporna
Kudat
Papar
Ranau
Beaufort
Kota Belud

Sayang Sabah - Berita Negeri Kita

SKMM Serah ‘Walkie Talkie’ Kepada Persatuan Malim Gunung, Taman-taman Sabah

malim

RANAU : Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) hari ini menyerahkan 50 unit ‘walkie-talkie’ kepada Persatuan Malim Gunung Kinabalu dan Lembaga Pemegang Amanah Taman-Taman Sabah untuk kegunaan sepanjang aktiviti mendaki pada masa depan.

Pengerusi SKMM Datuk Seri Dr Halim Shafie berkata ‘walkie-talkie’ dengan sistem komunikasi radio pada frekuensi amat tinggi (VHF) itu merupakan talian komunikasi alternatif di sekitar kawasan Gunung Kinabalu yang membolehkan kedua-dua pihak berhubung secara terus ketika bertugas.

Halim berharap sumbangan memudahkan lagi gerak kerja antara malim gunung dan pengurusan Taman-Taman Sabah memandangkan komunikasi adalah penting, terutama membabitkan aspek mencari dan menyelamat dalam situasi bencana.

“Terdapat permohonan daripada persatuan malim gunung supaya dibekalkan dengan satu sistem komunikasi alternatif kerana dalam keadaan tertentu termasuk situasi gempa bumi sistem selular tidak dapat berfungsi dengan baik.

“Justeru, SKMM bersama TM Berhad bersetuju menyediakan sistem berasaskan komunikasi radio VHF kerana adalah sangat penting terutama kepada malim gunung untuk memiliki kemudahan seumpama itu,” katanya kepada pemberita selepas majlis penyerahan ‘walkie-talkie’ itu di Kundasang di sini, hari ini.

Turut hadir Timbalan Pengarah Taman-Taman Sabah Dr Marklarin Lakim, Pengurus Taman Kinabalu Yassin Mikin dan Pengerusi Persatuan Malim Gunung Kinabalu Richard Soibi.

Halim berkata kemudahan ‘walkie-talkie’ berkenaan mampu memberi liputan sehingga ke puncak Gunung Kinabalu.

Sementara itu, Halim memaklumkan penyerahan 50 unit ‘walkie-talkie’ itu merupakan sebahagian daripada pemberian 100 unit alat itu seperti yang diumumkan Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek.

Halim berkata baki 50 unit akan diserahkan dalam satu majlis penyampaian dan pelancaran rasmi sistem itu yang dijangka disampaikan oleh Ahmad Shabery selepas Hari Raya nanti.

— BERNAMA

Komen


Berita Berkaitan