Sayang Sabah Facebook

Likes
Sayang Sabah Twitter

11,761

Followers

Sayang Sabah - Portal Berita Negeri Kita

SKMM Sekat 1,074 Laman Sesawang Lucah – Salleh

11:39am 10/11/2015 Pak Roshan 113 views Mutakhir,Nasional
Datuk Seri Salleh Said Keruak

Datuk Seri Salleh Said Keruak

KOTA KINABALU : Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) sehingga Oktober tahun ini, menyekat 1,074 laman sesawang lucah di bawah Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak berkata terkini sejumlah 106 laman lagi akan disekat atas kesalahan sama.

Katanya langkah sekatan itu merupakan sebahagian usaha berterusan SKMM bagi memelihara nilai-nilai murni yang didukung masyarakat berbilang kaum dan agama di negara ini.

“Penting untuk SKMM ambil tindakan kerana ini adalah punca kepada masalah sosial di negara kita,” katanya kepada pemberita ketika menghadiri Rumah Terbuka Deepavali 2015 anjuran Badan Perhubungan MIC Sabah di Dewan Serbaguna Kompleks Sukan Likas, dekat sini Selasa.

Selain itu, katanya, masyarakat awam juga disaran memberi maklumat mengenai mana-mana laman sesawang yang dipercayai menyebarkan kandungan berunsur lucah.

Maklumat itu boleh dimajukan kepada pihak SKMM di [email protected] (http://aduan.skmm.gov.my).

Dalam perkembangan sama, Salleh berkata SKMM turut mengambil tindakan serupa ke atas laman web judi di negara ini.

“Perkara ini kami akan banteras, juga dengan kerjasama semua pihak. SKMM akan bertindak bersama agensi lain yang terlibat termasuk Polis Diraja Malaysia dan yang penting hal-hal seperti ini perlu diberi perhatian sewajarnya,” tambahnya.

Mengenai Deepavali, beliau berharap ia dapat memperjelas dengan baik keutuhan hubungan antara rakyat Malaysia, sekali gus memupuk perasaan dan sikap saling hormat-menghormati antara pelbagai kaum ke arah memelihara keamanan dan keharmonian negara ini.

“Saya berharap rakyat negara ini akan dapat hidup dalam keadaan harmoni yang berpaksi kepada sikap toleransi yang merupakan elemen penting dalam masyarakat majmuk seperti Malaysia,” katanya.

Salleh berkata ia selaras dengan aspirasi kerajaan memperkenalkan konsep 1Malaysia yang mengutamakan perpaduan nasional.

Beliau berkata masyarakat majmuk di negara ini disaran untuk mencari dan melihat persamaan yang ada bagi mengukuhkan ikatan perpaduan.

“Jika pun ada perbezaan, kita harus melihat perbezaan itu dengan cara kita sendiri di Malaysia, kita tidak boleh terikut-ikut dengan cara luar yang tidak selari dengan budaya kita. Ini penting untuk terus memelihara kestabilan negara daripada pelbagai aspek,” katanya lagi.

— BERNAMA

Apa Komen dan Pendapat Anda

Artikel Berkaitan