Kota Kinabalu
Kota Kinabalu
Sandakan
Tawau
Lahad Datu
Keningau
Putatan
Semporna
Kudat
Papar
Ranau
Beaufort
Kota Belud

Sayang Sabah - Berita Negeri Kita

SKM gesa koperasi ceburi bidang berimpak tinggi

Umar Sarim (tengah)   alaysia dan Kakitangan Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) sedang menjamu selera di majlis rumah terbuka hari raya SKM 2015 di Kota Kinabalu. - foto Alex Mairin / SayangSabah
Umar Sarim (dua dari kanan) dan kakitangan SKM sedang menjamu selera di majlis rumah terbuka Aidilfitri SKM di Kota Kinabalu. – foto Alex Mairin / SayangSabah

KOTA KINABALU – Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) menggalakkan koperasi atau bakal koperasi menceburi bidang berimpak tinggi seperti farmaseutikal, hartanah dan peralatan.

Menurut Pengarah SKM Negeri Sabah, Umar Sarim Saidin, adalah menjadi satu kerugian kepada pihak koperasi sekiranya tidak melibatkan diri dalam ketiga-tiga bidang tersebut kerana memberi pulangan baik kepada ahli koperasi dan masyarakat.

“Saya juga minta supaya belia menceburi bidang dalam automotif… buka kedai membaiki kenderaan, aksesori, cuci kereta dan sebagainya kerana ini adalah bidang menguntungkan. Justeru, saya juga menggesa belia mengambil peluang menceburi bidang perniagaan ini,” katanya kepada pemberita dalam majlis rumah terbuka Aidilfitri SKM, di sini hari ini.

Umar berkata, SKM akan membantu dari segi pinjaman menerusi dua skim pembiayaan bantuan kepada koperasi yang mempunyai projek berdaya maju dan bantuan geran berjumlah RM30,000 hingga RM50,000 tanpa cagaran.

Bagi pinjaman RM50,000 ke atas sehingga RM1 juta pula, katanya, akan dikenakan cagaran dengan hanya dua peratus faedah manakala pinjaman RM5 hingga RM10 juta maksimum enam peratus faedah, berdasarkan baki.

Dalam pada itu, Umar Sarim berkata, koperasi di Sabah telah menunjukkan prestasi yang baik terutama dari segi kesederan masyarakat menubuhkan koperasi.

Pada tahun lalu, katanya, negeri ini hanya mempunyai 1,150 buah koperasi, namun jumlah itu meningkat kepada 1,223 koperasi sehingga Jun tahun ini yang sudah didaftarkan.

Beliau memberitahu, dalam masa beberapa bulan sahaja bilangan keahlian koperasi di negeri ini meningkat enam peratus iaitu seramai 338,000 orang dan ia bersamaan dengan 10 peratus penduduk Sabah yang direkodkan telah menjadi anggota koperasi.

Katanya lagi, saham koperasi terkumpul dengan yuran adalah sebanyak RM126 juta dan aset melebihi RM700 juta manakala tahun lalu SKM mengumpul jumlah pendapatan sebanyak RM260 juta.

“Setakat Mei ini koperasi telah mencapai RM100 juta pendapatan dan setiap tahun kita mensasarkan peningkatan kira kira enam peratus jumlah perolehan pendapatan,” ujarnya.

Tambah beliau, prestasi itu merupakan satu petanda baik bagi koperasi di Sabah yang sudah berkembang dan mempunyai potensi untuk bergerak maju.

Beliau turut mengambil contoh kejayaan Koperasi Mukim Batu Puteh di Sandakan dan Ar Rahnu di Tawau yang meraih RM13 juta pulangan manakala Koperasi Usahawan Tawau Berhad yang baharu berusia empat tahun, namun sudah membuka lima cawangan. – oleh Sitti Nor Azizah Talata / SayangSabah

Komen


Berita Berkaitan