Kota Kinabalu
Kota Kinabalu
Sandakan
Tawau
Lahad Datu
Keningau
Putatan
Semporna
Kudat
Papar
Ranau
Beaufort
Kota Belud

Sayang Sabah - Berita Negeri Kita

Skim Kawalan Harga Musim Perayaan 2015 dilancarkan

Severinus (tiga dari kiri) bersama-sama Pengurus Kawasan Pasaraya Giant, Daniel Ong (dua dari kiri) sambil disaksikan oleh pegawai kanan KPDNKK Sabah melancarkan Skim Kawalan Harga Musim Perayaan yang berlangsung di pasaraya Giant Kolombong hari ini. - foto JIMMY TAN / sayangsabah
Severinus (tiga dari kiri) bersama-sama Pengurus Kawasan Pasaraya Giant, Daniel Ong (dua dari kiri) sambil disaksikan oleh pegawai kanan KPDNKK Sabah melancarkan Skim Kawalan Harga Musim Perayaan yang berlangsung di pasaraya Giant Kolombong hari ini. – foto JIMMY TAN / sayangsabah

KOTA KINABALU – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) Sabah hari ini melancarkan Skim Harga Kawalan Musim Perayaan Hari Raya Puasa 2015 yang bermula pada 7 hingga 23 Julai ini.

Pengarahnya, Severinus Tukah berkata, skim kawalan harga yang dilaksanakan di bawah Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011 itu, akan dikuatkuasakan pada 10 hari sebelum dan enam hari selepas musim perayaan.

“Sebanyak 11 jenis produk telah disenaraikan dalam Skim Kawalan Harga yang turut dikuatkuasakan selama sehari ketika hari perayaan berlangsung,” katanya pada sidang media selepas majlis pelancaran yang diadakan di pasaraya Giant, Kolombong di sini hari ini.

Beliau berkata, penentuan harga maksimum borong dan runcit pada tahun ini tidak berlaku banyak perubahan berbanding 2014, kecuali melibatkan tomato, bawang merah kecil (India) serta ikan kembung dan mabung yang menyaksikan penentuan harga lebih rendah di beberapa daerah di negeri ini.

Menurutnya, harga maksimum untuk produk ayam (hidup, standard dan super), telur (gred A, B dan C), cili merah, tomato, kelapa (biji dan parut), bawang besar import dan ubi kentang (China) telah dikekalkan berikutan bekalan yang mencukupi untuk musim perayaan.

Manakala, harga maksimum untuk produk daging lembu (tempatan dan import), daging kerbau import, bawang merah kecil (India) dan bawang putih (China) ditentukan lebih tinggi disebabkan faktor penawaran dan permintaan di kalangan pengguna selain mengikut kesesuaian harga pasaran semasa.

“Penentuan harga maksimum dibuat berdasarkan pemantauan yang dijalankan KPDNK di seluruh negara bagi tempoh Januari hingga Jun 2015 serta hasil perbincangan dengan wakil pengeluar dan pemborong barangan terbabit,” katanya lagi.

Sehubungan itu, beliau menasihati para peniaga agar mematuhi peraturan yang telah ditetapkan oleh kerajaan di samping meletakkan tanda harga berwarna merah jambu bagi membezakan barangan harga terkawal dengan barangan lain.  – oleh Nuzir Andi Samsiar / sayangsabah

Komen


Berita Berkaitan