Sayang Sabah Facebook

Likes
Sayang Sabah Twitter

11,685

Followers

Sayang Sabah - Portal Berita Negeri Kita

SK Jabang Lakar Sejarah Semua Murid Tahun Enam Cemerlang UPSR

7:40pm 17/11/2015 Pak Roshan 110 views Beaufort,Mutakhir,Tempatan
upsr

gambar hiasan

KOTA KINABALU : Sekolah Kebangsaan (SK) Jabang yang dikategorikan sebagai sekolah kurang murid di daerah Beaufort melakar sejarah tersendiri apabila kesemua murid tahun enam sekolah itu memperoleh keputusan 5A dalam Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) tahun ini.

Kejayaan yang dilakar sekolah yang hanya memiliki empat orang murid darjah enam itu membolehkan ia mendapat Gred Purata Sekolah (GPS) 1.00 dan menjadikan SK Jabang sebagai sekolah pertama tersenarai antara 11 sekolah yang mendapat GPS terbaik di Sabah.

Guru Besar sekolah berkenaan, Jamaludin Musleh berkata sekolah yang terletak kira-kira 128 kilometer dari sini, perlu dilalui dengan menyeberangi Sungai Padas atau melalui jambatan gantung dari Kampung Suasa itu mempunyai 48 orang murid dan 18 orang guru termasuk Anggota Kumpulan Pelaksana (AKP).

Beliau yang juga guru besar ketujuh dan berkhidmat di sekolah itu sejak enam tahun lepas berkata ia merupakan pencapaian yang julung kali sejak sekolah itu ditubuhkan pada tahun 70-an.

“Untuk mencapai kejayaan itu, sekolah mengadakan pelbagai program antaranya latih tubi berpusat, guru-guru menyelami kelemahan murid, mengadakan kelas tambahan, program agama dan paling berkesan ialah sentuhan kasih iaitu program bersama ibu bapa murid,” katanya.

Empat murid yang memperoleh 5A itu ialah Agku Mohd Ezzatul Mazuan Awang Rosli, Ruzaini [email protected], Mohd Azari Mohd Razim dan Mohd Huzaini Junia yang rata-rata mereka tidak menyangka dapat meraih kejayaan seumpama itu serta bersyukur dengan pencapaian tersebut.

Selain SK Jabang, sekolah kurang murid yang terbaik dalam UPSR tahun ini ialah SK Taginambur Tuaran; SK Rangalau Baru Tuaran; SK Tinompok Liwan Tambunan; SK Ratau, Ranau; SK Perancangan, Ranau; SK Suangpai Kudat; SK Guakon Baru, Tuaran; SK Karangan, Beaufort; SK Saliku Nabawan dan SKLingga Baru, Tuaran.

— BERNAMA

Apa Komen dan Pendapat Anda

Artikel Berkaitan