Kota Kinabalu
Kota Kinabalu
Sandakan
Tawau
Lahad Datu
Keningau
Putatan
Semporna
Kudat
Papar
Ranau
Beaufort
Kota Belud

Sayang Sabah - Berita Negeri Kita

Siswa Sukarelawan Malaysia Berkorban Sambut Aidilfitri Di Vietnam

siswamalaysia

BANDARAYA HO CHI MINH– Jarang-jarang sekali rakyat Malaysia mengambil keputusan untuk tidak meraikan Aidilfitri di perantauan tanpa keluarga dan sanak saudara, melainkan atas sebab bertugas ataupun sedang melanjutkan pelajaran.

Namun, berlainan pula bagi sekumpulan 30 siswazah Malaysia tajaan Yayasan Sukarelawan Siswa (YSS) yang sedang menyertai Misi ‘Green Summer Volunteer 2014 Vietnam’, apabila sanggup membuat kerja sukarelawan selama sebulan di negara itu.

Selain bergotong-royong membantu komuniti setempat, mereka turut membersihkan kebun penduduk, membaiki jambatan, mengadakan kelas tuisyen secara percuma dan tugasan lain.

Bagi kumpulan siswa ini, yang majoritinya beragama Islam, tuntutan berpuasa tidak menjejaskan semangat mereka dalam melaksanakan misi itu.

Dailami Daniel Mat Nor, pelajar jurusan Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Marin (Seni Bina dan Pembinaan Kapal) Universiti Kuala Lumpur (UniKL) berkata, misi ini merupakan peluang keemasan bagi beliau untuk lebih mendalami adat resam serta budaya masyarakat Vietnam.

Anak kelahiran Kuala Terengganu ini berkata, walaupun ini merupakan kali pertama beliau menyambut Aidilfitri di perantauan, namun ia sama sekali tidak mematahkan hasrat beliau untuk menyumbang tenaga serta mempromosi nama Malaysia di persada antarabangsa.

“Ada sedikit perasaan pilu bagi kami golongan siswa, namun, mengambil sudut positif dari apa yang sedang kami lakukan sekarang, ia sama juga dengan berkorban demi negara, sekali gus lebih membuatkan kami memahami konsep nasionalisme yang sebenar.

“Malah, kami juga akan mengambil peluang ini untuk memberi pendedahan kepada sukarelawan siswa dari Vietnam supaya mereka lebih memahami Malaysia memandangkan kita semua adalah komuniti Asean,” katanya kepada Bernama baru-baru ini.

Nurlina Arappe, pelajar jurusan Ijazah Sarjana Muda Komunikasi dari Universiti Malaysia Sabah (UMS), berkata, kumpulan siswa Malaysia telah merancang untuk menyediakan sajian makanan seperti lemang, rendang, serunding dan sebagainya ketika menyambut Aidilfitri di sini kelak.

“Kami ingin mendedahkan kepada masyarakat Vietnam tentang makanan istimewa yang biasa rakyat Malaysia hidangkan setahun sekali.

“Di samping mengubat kerinduan kami terhadap keluarga, sanak saudara dan sahabat handai kerana terpaksa berjauhan dari mereka pada 1 Syawal nanti, kami juga dapat mempromosikan budaya Malaysia yang kaya dengan kepelbagaian dan adat resam,” katanya gadis cilik itu dengan ceria.

Selain menjadi ‘duta kecil’ Malaysia, ada juga siswa yang mula mempelajari nilai-nilai kehidupan dengan lebih mendalam ketika menyertai program sebegini.

Bagi Abdul Rahim Rahman, pelajar jurusan Ijazah Sarjana Muda Pengajian Strategi dari Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM), yang terpilih untuk menjadi seorang daripada tiga ketua kumpulan siswa Malaysia, berkata tanggungjawab sebagai ketua jauh lebih berat memandangkan ada masanya beliau terpaksa berurusan dengan komuniti setempat.

“Di sini, masyarakat setempat agak tegas memandangkan corak pemerintahan mereka yang agak tertutup. Namun, masyarakat setempat tetap menerima kami dengan terbuka, malahan ada yang cuba memastikan kami tidak melakukan kerja berat selepas mengetahui ada di antara kami berpuasa,” katanya lagi.

“Menjadi salah seorang ketua bagi misi sebegini, mengajar saya bahawa tanggungjawab ini tidak memerlukan saya tegas sepanjang masa, namun memberi saya kemahiran untuk memahami watak dan personaliti setiap ahli kumpulan saya, sekali gus memberi saya gambaran yang lebih meluas dalam melahirkan sesuatu keputusan,” katanya lagi.

Ada juga peserta yang telah menetapkan sasaran peribadi sewaktu mengambil keputusan untuk menyertai misi yang mencabar ini.

Muhammad Hafizzuddin Abu Hasan, pelajar jurusan Ijazah Sarjana Muda Rekabentuk (Animasi) Universiti Perguruan Sultan Idris (UPSI) misalnya, mengharapkan agar keluarga beliau dapat menghargai peranan serta pengorbanan yang dilakukan beliau.

“Melalui misi sebegini, saya harapkan agar keluarga melihat pengorbanan yang saya ambil, memandangkan apa yang saya lakukan ini, saya anggap tanggungjawab saya sebagai rakyat cintakan negara,” katanya.

Misi ‘Summer Volunteer Campaign Vietnam’ ini, bermula 13 Julai sehingga 10 Ogos, merupakan acara tahunan anjuran Ho Chi Minh Youth Union, melibatkan sekumpulan siswazah dari Foreign Trade University dan University of Economics.

Malaysia, melalui YSS, merupakan satu-satunya negara yang dijemput selama dua tahun berturut-turut bagi menyertai misi yang berlangsung selama sebulan.

Komen


Berita Berkaitan