Kota Kinabalu
Kota Kinabalu
Sandakan
Tawau
Lahad Datu
Keningau
Putatan
Semporna
Kudat
Papar
Ranau
Beaufort
Kota Belud

Sayang Sabah - Berita Negeri Kita

SISTEM PENYAMPAIAN KERAJAAN PERLU DIPERTINGKATKAN: SHAFIE

Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Panglima Shafie Apdal menyampaikan perutusan Ikrar Taat Setia Sempena Harijadi Rasmi TYT kali yang ke-65. Gambar SNT/Ehsan JKM

KOTA KINABALU: Ko-ordinasi antara agensi-agensi kerajaan harus ditingkatkan bagi memastikan projek bagi manfaat rakyat dilaksanakan dengan baik, kata Ketua Menteri Datuk Seri Mohd Shafie Apdal.

Beliau juga mahu Majlis Tindakan Negeri untuk bersifat lebih pro-aktif supaya projek-projek pembangunan berjalan dengan lancar, mengikut tempoh dan spesifikasi yang ditetapkan agar rakyat tidak hampa.

“Sistem penyampaian kita masih berada pada tahap yang tidak memuaskan,” katanya dalam ucapan di Majlis Istiadat Pengurniaan Darjah-Darjah Kebesaran, Bintang-Bintang dan Pingat-Pingat Negeri Sabah sempena Hari Jadi Rasmi Ke-65, Yang Di-Pertua Negeri Sabah, Tun Juhar Mahiruddin di Istana Negeri hari ini.

“Dalam hal ini, kurangnya koordinasi dan penyelidikan yang tidak cukup, menjejaskan pelaksanaan projek,” katanya.

Shafie memberi contoh di mana sebuah sekolah hanya mempunyai enam pelajar dan tujuh guru, sedangkan di kawasan lain dalam daerah yang sama, sekolah sesak dengan pelajar.

Terdapat satu lagi aduan di mana sekolah akan siap dibina dan boleh digunakan pada tahun 2019 namun jalan menuju ke sekolah berkenaan hanyalah jalan tanah merah dan sebuah jambatan kecil.

“Sudah tentu ini tidak dapat menampung lalu lintas. Perkara-perkara seumpama ini  tidak sepatutnya berlaku.

“Janganlah hanya mendengar tanpa mengkaji dan memberikan input atau pendapat, kerana ia boleh membantutkan projek pembangunan,” katanya.

Shafie berkata, kerajaan, penjawat awam dan sektor swasta perlu bekerja dan berusaha dengan lebih baik untuk memacu pembangunan Sabah ke tahap yang lebih tinggi.

Shafie menekankan bahawa Kerajaan boleh merancang projek pembangunan untuk rakyat, tetapi pada akhirnya ia tidak bermanfaat sekiranya semua kemudahan tersebut tidak dapat digunakan.

“Kita memerlukan satu pasukan penjawat awam yang memiliki nilai-nilai integriti, akauntabiliti, komitmen dan dedikasi kerja yang tinggi,” katanya.

Beliau yakin bahawa dengan adanya pasukan penjawat awam yang berintegriti, komited dan berdedikasi pelbagai kejayaan akan dapat dicapai dan sekaligus kerajaan akan terus mendapat kepercayaan rakyat.

PEMBANGUNAN MODAL INSAN DAN PENDIDIKAN DIUTAMAKAN

Dalam pada itu, Shafie berkata Kerajaan Negeri amat komited dalam membangun dan menyediakan modal insan yang berilmu, berkemahiran tinggi serta inovatif.

Beliau berkata, Kerajaan akan berusaha untuk menghantar penjawat awam dan pelajar yang berkelayakan ke luar negara supaya memperolehi kepakaran dan kemahiran dalam pelbagai bidang.

“Dengan kepakaran dan kemahiran itu, mereka boleh berkhidmat dan menyumbang kepada industri yang dipromosikan oleh kerajaan negeri.”

“Dalam bidang pendidikan, kita mahu setiap anak-anak di negeri ini, mendapat pendidikan sewajarnya, agar mereka dapat dilatih dan dididik, diberikan kemahiran dan pengetahuan yang sepatutnya,  untuk mengisi dan melibatkan diri dalam industri-industri yang akan diwujudkan oleh Kerajaan Negeri.

“Maka dengan itu, modal insan amat berharga bagi Kerajaan Negeri Sabah untuk memenuhi rancangan pembangunan industri di negeri ini,” katanya.

Shafie juga berkata agenda memperkasakan rakyat dengan memacu pembangunan di seluruh negeri akan diperhebatkan di bawah pemerintahan Kerajaan negeri yang baharu ini.

KERAJAAN GIAT USAHA TARIK PELABURAN INDUSTRI HILIRAN

“Dalam konteks ini, sukacita saya memaklumkan bahawa walaupun kita baru sahaja mengambil alih tampuk pemerintahan, Kerajaan baharu telah berjaya menarik pelabur untuk datang dan melabur di negeri ini.

“Ini menjadi bukti bahawa kita telah berjaya menanam kepercayaan dalam diri pelabur seterusnya memberi keyakinan kepada mereka untuk melabur di negeri ini,” katanya.

Kerajaan negeri tidak mahu terlalu bergantung kepada satu industri sahaja dalam membangunkan ekonomi Sabah, katanya.

‘Kerajaan kini sedang giat mencari aktiviti hiliran dan mewujudkan lebih banyak industri, kerana kita tidak boleh terlalu bergantung kepada pengeksportan bahan mentah seperti kayu balak dan minyak sawit mentah.

“Walaupun industri pelancongan semakin membangun, kerajaan negeri tidak boleh terlalu bergantung pada sektor tersebut,” katanya.

Beliau menjelaskan bahawa Kerajaan sedang dalam proses perbincangan dengan pelbagai pelabur, sama ada tempatan dan asing, untuk membina loji dan kilang mereka di Sabah, dengan menggunakan sepenuhnya sumber-sumber yang ada.

“Pada masa yang sama, Kerajaan juga akan mengetengahkan dan mempromosikan industri perabot untuk dieksport.”

“Ia bukan sahaja akan menambah dana kepada negeri, tetapi juga mewujudkan peluang-peluang pekerjaan untuk para belia kita di negeri,” kata Shafie.

Shafie menyeru kepada seluruh pemimpin dan rakyat untuk terus bersatu padu, berganding bahu, bermuafakat dan bekerjasama dengan kerajaan baharu negeri Sabah, demi kestabilan politik, kemakmuran negeri dan kesejahteraan rakyat pada keseluruhannya.

‘Ketepikan politik berunsur bangsa dan agama kerana ia boleh menimbulkan ketidakstabilan dan mencetuskan perbalahan.

“Sabah sememangnya sebuah negeri aman dan makmur. Maka biarlah negeri kita yang tercinta ini terus kekal harmoni,” katanya.

Bagi pihak Kerajaan Negeri dan seluruh rakyat Sabah, Shafie menyampaikan ucapan Selamat Hari Jadi ke-65, dan dirgahayu kepada Tuan Yang Terutama Tun Juhar Mahiruddin.-SabahNewsToday

Komen


Berita Berkaitan