Kota Kinabalu
Kota Kinabalu
Sandakan
Tawau
Lahad Datu
Keningau
Putatan
Semporna
Kudat
Papar
Ranau
Beaufort
Kota Belud

Sayang Sabah - Berita Negeri Kita

Sistem GST tidak bebankan rakyat

KOTA KINABALU: Orang ramai diingatkan agar tidak mudah terpengaruh dengan dakwaan negatif oleh segelintir pihak yang mendakwa Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) membebankan pengguna.

Pengerusi penganjur Program Kesedaran Kepenggunaan, Halizah Din berkata bahawa, kerajaan telah membuat kajian secara terperinci termasuk mendapatkan pandangan daripada pakar ekonomi sebelum mengambil keputusan melaksanakan  sistem GST yang akan dikuatkuasakan mulai 1 April depan.

“Orang ramai khususnya para pengguna perlu faham bahawa sistem GST diperkenalkan mewujudkan sistem percukaian yang lebih efektif dan stabil berbanding dengan Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) yang dilaksanakan pada masa ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis perasmian penutupan Program Kesedaran Kepenggunaan Peringkat Kota Kinabalu di Bangunan Seri PPS Sembulan di sini semalam.

Program ceramah yang membincangkan perkara berkaitan GST, hak pengguna dan isu masalah kenaikan harga barangan itu dianjurkan oleh Majlis Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Kota Kinabalu dengan kerjasama Jabatan Hal Ehwal Wanita Negeri serta  pejabat Perdagangan Dalam Negeri Koperasi dan Kepenggunaan cawangan Sabah dan Jabatan Kastam.

Majlis perasmian penutupan itu disempurnakan oleh Ketua UMNO bahagian Kota Kinabalu, Datuk Faisyal Yusuf Hamdain Diego.

Haliza berkata, kerajaan telah memberi jaminan bahawa GST sebanyak 6 peratus tidak akan membebankan rakyat terutama golongan berpendapatan rendah di negara ini.

“GST yang akan dilaksanakan kelak juga tidak akan membebankan rakyat khususnya golongan yang berpendapatan rendah kerana barangan dan perkhidmatan yang menjadi keperluan asas rakyat seperti makanan asas, pengangkutan awam, perkhidmatan hospital dan klinik serta pendidikan tidak dikenakan GST,” katanya lagi.

Beliau berkata, agensi penguatkuasaan turut mengambil langkah sewajarnya bagi memastikan tiada peniaga yang mengambil kesempatan menaikkan harga barangan jualan mereka..

Antara langkah-langkah yang akan diambil oleh agensi terbabit ialah menguatkuasakan sepenuhnya Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatuan (Profiteering) 2011.

Melalui sistem ini, cukai sebanyak 6 peratus akan dikenakan di setiap peringkat pengedaran dan pembekalan iaitu dari pihak pengimport, pengilang, pemborong, peruncit dan peniaga.

Dengan kata lain, hakikatnya setiap peringkat rantaian ini memerlukan pihak syarikat pengisyitiharan segala sumber, aliran dan akaun pendapatan mereka kepada pihak berkuasa berwajib sekaligus menggambarkan GST adalah sistem yang telus.  – oleh Nuzir Andi Samsiar / sayangsabah

CENDERA KENANGAN... Wakil Jabatan Kastam menerima cenderamata daripada Faisyal Yusof sambil disaksikan oleh Haliza (kiri) dan Ketua Wanita Umno bahagian Kota Kinabalu, Datuk Rosimah Zakaria (dua dari kanan). - foto SayangSabah
PENGHARGAAN.. Wakil Jabatan Kastam menerima cenderamata daripada Faisyal Yusof sambil disaksikan oleh Haliza (kiri) dan Ketua Wanita Umno bahagian Kota Kinabalu, Datuk Rosimah Zakaria (dua dari kanan). – foto SayangSabah

Komen


Berita Berkaitan