Kota Kinabalu
Kota Kinabalu
Sandakan
Tawau
Lahad Datu
Keningau
Putatan
Semporna
Kudat
Papar
Ranau
Beaufort
Kota Belud

Sayang Sabah - Berita Negeri Kita

SIRIM laksana 14 projek komuniti di tujuh daerah di Sabah

Ahmad Fadzil (kiri) mengiringi Pembantu Menteri Perdagangan dan Industri Sabah, Azhar Matussin (tengah) melawat pameran Program Keterlibatan SIRIM-Industri di Sandakan. Gambar Bernama

SANDAKAN, 29 Ogos (Bernama) — SIRIM telah melaksanakan 14 projek komuniti di tujuh daerah di Sabah bernilai RM2.5 juta menerusi dana daripada Kementerian Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim.

Presiden dan Ketua Eksekutif Kumpulan SIRIM Prof Ir Dr Ahmad Fadzil Mohamad Hani berkata pelaksanaan projek komuniti itu memberi manfaat kepada masyarakat di negeri ini melalui aplikasi teknologi di dalam pelbagai sektor seperti pertanian, perikanan, pendidikan, pelancongan dan persekitaran.

Katanya projek komuniti SIRIM yang baru dilaksanakan di Ranau, iaitu biji koko yang dituai oleh peladang di Kampung Napong 2 dikeringkan menggunakan teknologi solar termal.

Menurutnya satu lagi projek komuniti di Ranau membabitkan sistem pengkomposan yang digunakan di Kampung Bundu Tuhan diaplikasikan untuk menukar sisa buangan sayur tanaman kepada kompos organik.

“SIRIM telah bertapak di Sabah sejak 1980-an dan kami mempunyai lebih 30 tahun pengalaman dalam menyediakan aplikasi teknologi dan penambahbaikan dalam pelbagai sektor antaranya pengeluaran, minyak dan gas, serta perkhidmatan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Program Keterlibatan SIRIM-Industri yang dirasmikan oleh Pembantu Menteri Perdagangan dan Industri Sabah, Azhar Matussin di sini, hari ini.

Ahmad Fadzil berkata melalui pelbagai program yang dilaksanakan, lebih 700 Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) di negeri ini telah dilatih dan dibantu oleh SIRIM.

Katanya dengan bekerjasama dengan agensi pembiayaan, SIRIM telah memberikan latihan teknikal dalam pengeluaran produk kosmetik, bahan pencuci, faundri, kaca dan seramik kepada lebih daripada 350 pelajar, belia, wanita dan usahawan Sabah yang bercita-cita tinggi.

Dalam pada itu, beliau berkata menerusi program Keterlibatan SIRIM-Industri, peserta juga diperkenalkan kepada Model Inovasi Industri SIRIM dan program Audit Teknologi yang membabitkan kerjasama antara SIRIM dan Fraunhofer, Jerman, dengan sokongan kerajaan Malaysia.

Katanya program ini akan membantu PKS menjadi lebih berdaya saing, inovatif dan produktif bagi membolehkan produk mereka lebih mudah didapati dan diterima di pasaran antarabangsa.

Beliau berkata sejak diperkenalkan sehingga Ogos ini, sebanyak 622 PKS di negara ini termasuk 25 PKS Sabah telah menyertai audit teknologi dan mengikuti latihan.

Menurutnya SIRIM telah membantu mereka dalam pelbagai intervensi teknologi termasuk peningkatan di dalam automasi dan mekanisasi di dalam proses pembuatan dan pengeluaran.

— BERNAMA

Komen


Berita Berkaitan