Kota Kinabalu
Kota Kinabalu
Sandakan
Tawau
Lahad Datu
Keningau
Putatan
Semporna
Kudat
Papar
Ranau
Beaufort
Kota Belud

Sayang Sabah - Berita Negeri Kita

Sindiket pertaruhan haram Piala Dunia lumpuh

Timbalan Pesuruhjaya Polis Sabah, DCP Datuk Omar Mammah (tengah) menunjukkan barang-barang serta wang tunai yang dirampas ketika sidang media berkenaan kejayaan pihak polis menumpaskan sindiket bookie haram perlawanan bola sepak piala dunia di Ibu Pejabat Polis Daerah Penampang. – Foto Khairull Azry

 

PENAMPANG: Polis Sabah melumpuhkan satu sindiket pertaruhan haram Piala Dunia 2018 dengan tertangkapnya sembilan individu serta rampasan wang tunai hampir RM100,000 dalam lima serbuan berasingan, di sini.

Timbalan Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Omar Mammah, berkata sembilan suspek yang ditahan itu termasuk seorang wanita sedang mengandung berusia antara 20 hingga 35 tahun dengan kesemua mereka bertindak sebagai penganjur pertaruhan.

“Dalam serbuan pada 18 hingga 20 Jun lalu itu, pihak kami turut merampas pelbagai barangan yang dipercayai berkaitan dengan pertaruhan Piala Dunia, antaranya termasuk wang tunai RM98,653, 27 kertas catitan keputusan perlawanan bola sepak Piala Dunia 2018, 19 telefon bimbit pelbagai jenama, mesin cetak mini dan kertas senarai pertaruhan bookie.

“Lima serbuan berkenaan dibuat sepasukan anggota daripada Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah dan IPD Penampang di lima premis iaitu di Kampung Nosoob, Taman Prima Sumundu, dua premis di pekan Donggongon serta Kampung Muhibbah di Putatan,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Penampang, di sini, hari ini.

Omar berkata, serbuan dibuat selepas pihaknya menerima maklumat dari orang awam dengan modus operandi sindiket ini ialah dengan cara berhubung terus menerusi talian telefon di antara pemain dengan penganjur.

“Pihak polis juga masih memburu dalang utama sindiket ini dan pemantauan juga akan diteruskan dari semasa ke semasa bagi mengesan sebarang bentuk pertaruhan haram Piala Dunia di negeri ini,” katanya.

Tambah beliau, kesemua suspek telah ditahan reman bagi tujuan siasatan lanjut mengikut Seksyen 6 (3) Akta Pertaruhan 1953.

Sehubungan itu, beliau meminta orang ramai untuk terus bekerjasama dengan pihak polis dengan menyalurkan maklumat berhubung kegiatan pertaruhan atau perjudian membabitkan Piala Dunia. – Oleh Ryan Stanley/BH Online

Komen


Berita Berkaitan