Kota Kinabalu
Kota Kinabalu
Sandakan
Tawau
Lahad Datu
Keningau
Putatan
Semporna
Kudat
Papar
Ranau
Beaufort
Kota Belud

Sayang Sabah - Berita Negeri Kita

Sindiket dadah guna penerbangan domestik

KETUA Pengarah Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM), Datuk Seri T Subromaniam (empat dari kanan) menunjukkan syabu yang dirampas pada sidang media di Wisma JKDM, Sandakan, hari ini. – Foto Poliana Ronnie Sidom

 

SANDAKAN: Kumpulan sindiket dadah dikesan mula menukar taktik menyeludup dadah dengan menggunakan penerbangan domestik, berbanding menggunakan penerbangan antarabangsa sebelum ini.

Taktik itu dikesan berikutan penahanan lima lelaki warga tempatan yang tiba dari Kuala Lumpur bersama lima bagasi mengandungi 102.99 kilogram syabu dianggarkan bernilai RM5.66 juta di Lapangan Terbang Sandakan, di sini, Selasa lalu.

Ketua Pengarah Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM), Datuk Seri T Subromaniam, berkata dadah dibawa lelaki berusia 19 hingga 29 tahun itu dibungkus dengan empat lapisan dipercayai bagi mengelak dikesan mesin pengimbas.

Katanya, siasatan kini tertumpu kepada aspek dalaman dan sindiket yang terbabit.

Beliau berkata, pihaknya juga sudah mengeluarkan arahan supaya pemeriksaan rapi dilakukan ke atas setiap penerbangan domestik khususnya dari Kuala Lumpur ke Sabah dan Sarawak.

“Apa yang paling memeranjatkan, dadah dibawa dari Kuala Lumpur, bukan luar negara. Kita memandang serius kejadian ini sebab biasanya jika perjalanan domestik ia dianggap sebagai tidak berisiko.

“Disebabkan kita ada pemeriksaan rapi bagi penerbangan antarabangsa, mereka (sindiket) kini menukar taktik,” katanya pada sidang media Wisma JKDM, di sini, hari ini.

Subromaniam berkata, selain mengeluarkan arahan pemeriksaan rapi ke atas penerbangan domestik, Kastam juga mempunyai mesin pengimbas di setiap lapangan terbang dan sistem pengurusan risiko yang boleh mengenal pasti penumpang berisiko tinggi.

Katanya, lima suspek itu dikesan selepas dilihat dalam keadaan mencurigakan dan cuba melarikan diri dari balai ketibaan Lapangan Terbang Sandakan sebelum beg mereka diperiksa anggota Kastam.

“Ia adalah tangkapan terbesar di Sabah dan kedua tahun ini yang cuba menyeludup dadah menerusi laluan udara,” katanya.

Subromaniam berkata, semua suspek kini direman 12 hari untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952. – BH ONLINE

Komen


Berita Berkaitan