Kota Kinabalu
Kota Kinabalu
Sandakan
Tawau
Lahad Datu
Keningau
Putatan
Semporna
Kudat
Papar
Ranau
Beaufort
Kota Belud

Sayang Sabah - Berita Negeri Kita

Simbol ‘mata lebam’ dan ‘kapal layar’ bukan pilihan tepat bagi rakyat Sabah

BEAUFORT : Pengerusi Barisan Nasional (BN) Datuk Seri Najib Tun Razak menyifatkan parti simbol ‘mata lebam’ dan ‘kapal layar’ bukan pilihan tepat bagi rakyat Sabah.

Menurut beliau, simbol mata lebam yang merujuk kepada PKR dan simbol kapal layar yang merujuk kepada Parti Warisan Sabah (Warisan) tidak mempunyai keupayaan untuk membawa pembangunan di Sabah.

Berbeza dengan BN yang mempunyai rekod pencapaian cemerlang dalam memacu kemajuan dan membela hak rakyat di negara ini, rakyat tidak perlu ragu lagi untuk terus memberi sokongan kepada BN.

“Zaman sekarang kita tak main kapal layar. Kita nak berlayar di lautan samudera, jadi kita nak kapal yang lebih moden.

“Kapal layar ini kecil, hanya parti kecil yang bermain di tepi pantai sahaja. Kita (BN) ini parti yang besar, parti daripada Perlis sampai lah ke Sabah.

“Oleh itu, pilihlah kapal yang moden yang penuh kekuatan. Jadi semuanya dah jelas, hati saya adalah untuk terus membangunkan negeri Sabah,”katanya.

Dalam pada itu, Najib turut menyeru agar rakyat di negeri ini tidak termakan dengan janji-janji manis yang dilemparkan parti pembangkang semasa dalam kempen Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14).

Menurut Najib, rakyat haruslah bijak memilih parti yang boleh memberi manfaat kepada seluruh rakyat dan bukannya parti yang hanya ‘menghabiskan beras’ sahaja.

Beliau berucap demikian dalam Majlis Bersama Rakyat Parlimen Beaufort di Dataran Bagandang, hari ini.

Turut hadir Calon Dewan Undangan Negeri (DUN) Tambunan, Tan Sri Joseph Pairin Kitingan, Calon Parlimen Beaufort, Datuk Azizah Mohd Dun, Calon DUN Klias, Datuk Isnin Alisaneh dan Calon DUN Kuala Penyu, Datuk Limus Jury.

Sementara itu, Najib turut menggesa agar rakyat tidak mudah percaya dengan berita palsu yang disampaikan oleh pihak pembangkang yang menuduh kepimpinan kerajaan BN hanya menambah hutang negara.

“Kita bukan negara yang gagal. Kita bukan negara bankrap kerana mempunyai hutang yang besar, itu adalah tidak benar sama sekali.

“Ingin saya nyatakan di sini, hutang kita cuma 50.8 peratus daripada keluaran dalam negara kasar (KDNK) sahaja.

“Zaman orang yang menjadi perdana menteri 22 tahun pernah sampai 103 peratus daripada KDNK, kenapa dia tak persoalkan zaman dia? Kenapa harus sekarang untuk berbohong?,”katanya. /SayangSabah

Najib ketika menyampaikan ucapan sempena majlis berkenaan. -Gambar Oleh Alex Mairin

Komen


Berita Berkaitan