Kota Kinabalu
Kota Kinabalu
Sandakan
Tawau
Lahad Datu
Keningau
Putatan
Semporna
Kudat
Papar
Ranau
Beaufort
Kota Belud

Sayang Sabah - Berita Negeri Kita

Siasatan AS ke atas 1MDB dipercepatkan

SEKURANG-KURANGNYA enam negara termasuk Malaysia, AS dan Switzerland menyiasat tuduhan bahawa Najib dan beberapa orang lain mengambil sebahagian daripada AS$4.5 bilion (RM17.95 bilion) yang dicuri daripada 1MDB. – Foto Abd Rahim Rahmat

 

WASHINGTON: Penyiasat Amerika Syarikat (AS) mempercepatkan siasatan penyelewengan dana syarikat pelaburan 1MDB termasuk bertukar lebih banyak maklumat dengan Kerajaan Malaysia sejak Barisan Nasional (BN) pimpinan Datuk Seri Najib Razak tewas dalam Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) bulan lalu, dakwa sumber rapat penyiasatan.

Sekurang-kurangnya enam negara termasuk Malaysia, AS dan Switzerland menyiasat tuduhan bahawa Najib dan beberapa orang lain mengambil sebahagian daripada AS$4.5 bilion (RM17.95 bilion) yang dicuri daripada 1MDB.

Siasatan itu dilaporkan mendapat nafas baru selepas kekalahan BN dalam PRU-14, lapor agensi berita Reuters yang tidak menamakan tiga sumber penyiasatan itu. Najib secara konsisten menafikan sebarang salah laku dalam kes itu.

Biro Siasatan Persekutuan (FBI) yakin kerajaan baharu Malaysia lebih bersedia memberi kerjasama selepas menganggap Najib giat menyekat siasatan, kata sumber berkenaan.

Walaupun pendakwa raya AS menimbang kemungkinan mengemukakan pendakwaan ke atas Najib dan beberapa rakannya yang lain, mereka berpendapat adalah lebih baik Malaysia memfailkan dakwaan jenayah terhadap mana-mana pegawainya.

Najib mendapatkan khidmat bekas Peguam Negara AS, John Ashcroft dan peguam David Boies dari sebuah firma guaman New York untuk menjadi peguam bela beliau berhubung mana-mana siasatan AS, kata sumber pasukan guaman Najib.

Tahun lalu, selepas melakukan beberapa rampasan aset, pendakwa raya AS mendakwa di mahkamah bahawa sebahagian wang yang dicuri daripada 1MDB dimasukkan dalam akaun individu ‘MO1’.

Selepas kekalahan BN, kerajaan baharu Malaysia berusaha mendapatkan semula wang berbilion dolar yang didakwa dicuri daripada 1MDB.

Ini termasuk menimbang untuk memohon kerajaan AS meminta bank Goldman Sachs memulangkan hampir AS$600 juta (RM2.39 bilion) hasil daripada bon bagi 1MDB, kata sumber.

Belum ada permohonan rasmi dibuat tetapi perkara ini dibincangkan oleh pegawai kanan Malaysia, kata mereka.

Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, berkata Malaysia juga mahu menahan perunding kewanganr Low Taek Jho yang dianggap berperanan penting dalam skandal itu sebagai penasihat pelaburan dan menjadi perunding perjanjian bagi 1MDB. – Reuters/BH Online

Komen


Berita Berkaitan