Sayang Sabah Facebook

Likes
Sayang Sabah Twitter

11,642

Followers

Sayang Sabah - Portal Berita Negeri Kita

Siasat Kesahihan Laporan Murid Tahun 2 Hampir Diculik

3:25pm 07/11/2015 Pak Roshan 189 views Jenayah,Mutakhir

PDRM1

KOTA KINABALU – Polis sedang menyiasat kesahihan laporan berkaitan dakwaan cubaan menculik pelajar tahun dua Sekolah Kebangsaan Wakuba di Tawau pada 4 Nov lepas.

Timbalan Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Awang Sahari EM Nadzeer berkata polis masih menjalankan siasatan dan setakat ini, tiada situasi yang boleh dikaitkan ke arah penculikan pelajar terbabit.

“Semalam, seorang guru di Tawau telah membuat laporan polis pada pukul 2 petang mengenai pelajar ini yang diumpan duit RM5 dan hampir diculik masuk ke dalam van.

“Bagaimanapun, pelajar itu bertindak melarikan diri. Dakwaan cubaan menculik itu tidak jelas dan fokus kami sekarang adalah untuk mendapatkan keterangan lanjut daripada pelajar berkenaan sama ada kenyataan itu benar atau tidak,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menyempurnakan majlis tamat latihan 101 polis bantuan siri 2/2015 di Pusat Latihan Polis (Pulapol) dekat sini hari ini.

Sementara itu, dakwaan mengenai seorang pelajar Sekolah Kebangsaan Pekan Beaufort hampir diculik pada 29 Okt lepas berikutan kelewatan pelajar itu diambil balik dari sekolah turut tersebar dan menjadi viral di aplikasi Whatsapp serta laman sosial Facebook sejak semalam.

Awang Sahari berkata, polis tidak menerima sebarang laporan mengenai perkara itu dan berharap masyarakat berhenti menyebarkan maklumat yang tidak sahih sehingga boleh menimbulkan panik. – BERNAMA

Apa Komen dan Pendapat Anda

Artikel Berkaitan