Kota Kinabalu
Kota Kinabalu
Sandakan
Tawau
Lahad Datu
Keningau
Putatan
Semporna
Kudat
Papar
Ranau
Beaufort
Kota Belud

Sayang Sabah - Berita Negeri Kita

Siapa saja yang ada kaitan akan dipanggil – SPRM

KETUA Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Dzulkifli Ahmad pada sidang media ringkas mengenai siasatan penyelewengan dana bernilai hampir RM180 juta, di perkarangan Kompleks Pentadbiran Kerajaan Persekutuan Sabah, Kota Kinabalu. Hadir sama Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM, Datuk Seri Azam Baki. – Foto Mohd Adam Arinin

 

SEMPORNA: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) akan memanggil beberapa lagi saksi termasuk bekas Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal jika ada keperluan bagi membantu siasatan kes penyelewengan dana awam di Sabah.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Dzulkifli Ahmad, setakat ini 45 saksi dipanggil memberi keterangan dengan kira-kira 70 syarikat dikenal pasti terbabit dalam pelaksanaan projek pembangunan rakyat luar bandar yang disiasat agensi itu membabitkan penyelewengan dana awam bernilai RM1.5 bilion.

“(Setakat ini) 45 (saksi) sudah dipanggil (memberi keterangan) dan akan ada lagi saksi kita panggil dalam masa terdekat, tangkapan kalau ada keperluan kita akan lakukan.

“Kita akan panggil sesiapa sahaja yang ada kaitan dan boleh membantu siasatan,” katanya selepas meninjau Projek Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Intan di sini.

Beliau berkata demikian menjawab soalan sama ada SPRM akan memanggil Mohd Shafie yang kini Presiden Parti Warisan Sabah untuk memberi keterangan dan membantu siasatan berhubung kes berkenaan.

Mengulas lanjut, Dzulkifli menegaskan, siasatan SPRM bukan tertumpu kepada parti politik tertentu, sebaliknya dalam kes dana awam di Sabah ia disiasat kerana wujud unsur rasuah dan salahguna kuasa membabitkan projek kerajaan Persekutuan.

“Saya nak menyatakan siasatan kita bukan (mana-mana) parti politik, ini membabitkan peruntukan kerajaan Persekutuan yang kita kesan ada unsur salahguna kuasa dan rasuah, bukan Warisan (Parti Warisan Sabah) saja, UMNO pun ada (tangkapan), itu tanggapan mereka (SPRM tumpu pada parti pembangkang).

“Bukan asas kita nak buat tangkapan hanya pada parti tertentu, ia berdasarkan bukti dan keterangan yang kita peroleh tanpa ada asas lain, tanpa melihat sudut elemen parti politik tertentu,” katanya sambil menambah siasatan akan diperluaskan ke beberapa negeri selepas ini.

Beliau berkata, jumlah dana yang telah dibekukan berkaitan kes berkenaan masih kekal RM180 juta setakat ini, namun tidak menolak kemungkinan akan ada sitaan terbaharu.

Setakat ini, tujuh individu sudah ditahan berhubung siasatan kes terbabit, masing-masing empat ahli politik, dua ahli perniagaan dan seorang penjawat awam.

Mereka yang ditahan ialah adik Mohd Shafie, Hamid Apdal, 52; Naib Presiden Warisan, Datuk Peter Anthony; Ketua Wira Warisan, Datuk Mohd Azis Jamman; Ketua Pemuda UMNO Tenom, Jamawi Jaafar dan Ketua Pemuda UMNO Tawau, Ariffin Kassim serta seorang ahli perniagaan dan penjawat awam.

Mengenai LRA Sungai Intan, Dzulkifli berkata, lawatannya itu bertujuan mendengar sendiri permasalahan penduduk yang masih gagal mendapatkan bekalan air bersih walaupun projek terbabit sudah disiapkan.

“Isu ini mengecewakan penduduk, mereka hanya dapat air paip yang dirawat hanya dua atau tiga hari seminggu, manakala hari lain bergantung kepada perigi dibuat sendiri,” katanya.

Terdahulu dalam ucapannya, beliau meminta masyarakat mendoakan anggota dan pegawai SPRM diberi kekuatan, ketenangan dan kesabaran dalam melaksanakan amanah dan tanggungjawab.

“Apabila buat kerja baik ramai tak suka, ramai kritik, terima pelbagai kecaman dan sebagainya, namun SPRM tidak patah semangat memerangi perlakuan rasuah dan penyalahgunaan kuasa,” katanya.

Projek LRA Sungai Intan bernilai RM45 juta yang siap tahun lalu sepatutnya membekalkan air kepada kira-kira 1,800 penduduk di Kampung Sungai Intan dan kawasan sekitar, namun tidak dapat dimanfaatkan hingga kini.

Sebelum ini, BH melaporkan 350 projek KKLW membabitkan 170 projek bekalan air, jalan raya (163 projek) dan bekalan elektrik (17) di sembilan daerah di Sabah membabitkan kos keseluruhan kira-kira RM7.5 bilion dipantau SPRM.

Difahamkan, siasatan SPRM kini turut terarah kepada seorang Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) di pantai timur Sabah yang dijangka dipanggil untuk memberi keterangan dalam tempoh terdekat. – BH ONLINE

Komen


Berita Berkaitan