Kota Kinabalu
Kota Kinabalu
Sandakan
Tawau
Lahad Datu
Keningau
Putatan
Semporna
Kudat
Papar
Ranau
Beaufort
Kota Belud

Sayang Sabah - Berita Negeri Kita

SIANGNYA BAGAI PEMBURU

Gambar Hiasan

 

Berkata Allah s.w.t dalam al-Quran:

والشمس وضحاها

“Demi matahari dan cahayanya yang terang-berderang.”

(Asy-Syams : 1)

والنهار إذا جلاها

“Dan siang apabila ia memperlihatkannya dengan jelas.”

(Asy-Syams : 3)

Siang. Tidak lari dari sinaran matahari yang cerah. Cahayanya memukau pandangan si mata dua. Menerangi isi bumi seluruhnya mengikut putaran yang diaturkan Allah. Saat itu, keindahan alam jelas terlihat. Satu-satu diperhatikan pada sekelilingnya. Berpinar-pinar biji mata mentadabbur ciptaan hebat Yang Maha Esa. Langit biru yang terbentang luas dengan kepulan awan putih terbentuk indah. Hutan rimba menghijau menyegarkan pandangan mata dengan bunyian haiwan yang mengusik irama telinga. Gelagat manusia yang berbagai-bagai sesekali mencuit hati.

Tapi, langit itu tidak selalu cerah. Kadang-kadang ia mendung, lalu menitiskan air hujan. Tika itu, mata masih tidak kabur melihat indahnya pemandangan kerana matahari setia memberi cahaya. Bumi pula setia berputar dalam kitarannya. Surutnya hujan, terpancar semula cahaya terangnya. Kemudian, terbentuk pelangi berwarna-warni menceriakan bumi kembali. Indahnya alam mematuhi kehendak-Nya. Menjalankan tuntutan yang diamanahkan.

Siang. Tidak lari dari kehidupan bekerja. Saat matahari mula terbit pada waktu yang masih hitam pekat fajarnya, manusia dengan sendirinya mula membuka mata. Bangun dari kerehatan di malam hari yang diciptakan Allah bagi makhluk yang bernama manusia.

Seperti firman Allah,

وهو الذي جعل لكم الليل لباسا والنوم سباتا وجعل النهار نشورا

“Dan Dia lah Tuhan yang menjadikan malam untuk kamu semua sebagai pakaian dan memjadikan tidur untuk berhenti berehat, dan menjadikan siang untuk keluar mencari rezeki.”

(Al-Furqan : 47)

Manusia juga punya tuntutan. Seperti yang dinyatakan di akhir ayat di atas, Allah menjadikan siang untuk keluar mencari rezeki. Tuntutan bagi manusia pada siang hari adalah bekerja. Terdapat banyak pecahan dalam pekerjaan yang boleh disenaraikan dalam kehidupan manusia. Mungkin ramai yang tidak memikirkan atau terlepas pandang dari aspek ini dan ianya adalah kewajipan bagi seseorang yang bergelar muslim.

1. MENGERJAKAN IBADAH

Mengerjakan ibadah termasuklah ibadah solat, puasa, zakat dan sebagainya. Seperti yang disebut, ibadah-ibadah itu adalah fardhu bagi seorang muslim. Ini adalah salah satu pekerjaan yang mungkin terlepas pandang bagi segelintir manusia dan mungkin juga terlepas terus kerana asyik dengan kehidupan dunia tanpa memikirkan kewajipan yang dituntut.

Mendirikan solat adalah pekerjaan harian kita lima kali sehari semalam. Ia dilakukan setelah fajar menjelma sehingga sebelum kita terlena. Solat juga adalah sebuah kerehatan bagi yang mendirikannya sedang seseorang itu letih mengerjakan pekerjaan umum kerana solat dapat mendamaikan jiwa, mententeramkan hati dan menenangkan otak. Melepaskan beban seketika.

Ibadah puasa pula dikerjakan sepanjang siang hari pada bulan Ramadhan dan hari-hari sunat yang lain. Menahan diri daripada makan dan minum serta perkara-perkara yang membatalkan puasa. Meningkatkan ibadah-ibadah sunat yang lain seperti tadarus al-quran, bersedeqah dan sebagainya.

 

2. MENUNTUT ILMU

Belajar juga adalah kerja yang difardhukan kepada semua umat muslim. Dituntut untuk menuntut ilmu di mana-mana, apa-apa perkara, bila-bila masa. Bagi pelajar, inilah pekerjaan anda di siang hari. Pergi sekolah atau kuliah bermula dari pagi hingga ke petang. Malam-malam sebelum waktu tidur, dimanfaatkan dengan pergi ke majlis-majlis ilmu yang lain, tidak kira pelajar atau yang bekerja umum.

Seperti sabda Rasulullah s.a.w:

طلب العلم فريضة على كل مسلم

“menuntut ilmu adalah fardhu ke atas semua orang muslim.”

Oleh itu, tuntutlah ilmu walau dengan apa perkara sekalipun. Ilmu juga adalah salah satu bentuk rezeki daripada Allah kepada kita yang pelbagai. Setiap manusia itu berbeza-beza pendapatan ilmunya dan itu membolehkan manusia menyalurkan ilmu itu kepada yang lain. Kerana itu juga siang diciptakan untuk mencari rezeki. Rezeki ilmu itu tiada tandingannya kerana ia adalah cahaya bagi hati kita

3. PEKERJAAN UMUM

Pekerjaan umum termasuklah guru, peniaga, kontraktor, pemandu bas, pencuci tandas dan sebagainya. Lakukanlah apa-apa pekerjaan pun, asalkan halal pendapatannya. Rezeki daripada bekerja setiap manusia itu juga tidak sama, berbeza-beza kerana bidang ilmu yang dipelajarinya itu berbeza. Mungkin ada yang hebat kerjayanya dan mungkin ada yang kurang sedikit. Tetapi, ketahuilah bahawa itu semua ketentuan Allah kepada kita untuk bersyukur atas apa adanya dan lebih berusaha dalam meningkatkan prestasi. Asalkan ia dilakukan dengan keikhlasan, tidak terjebak dengan perkara yang haram seperti riba, amanah dalam setiap pekerjaan yang dilakukan. InsyaAllah, berkat dunia dan akhirat.

Begitulah tiga pecahan pekerjaan yang dilakukan pada siang hari. Tapi, ia seperti langit yang tidak selalu cerah. Tiba-tiba mendung kelam hati, lalu menitiskan air mata. Tika itu, hati masih tidak lemah kerana Allah setia menemani, mendengar segala rintihan kita. Orang sekeliling setia memberi sokongan kepada kita. Surutnya air mata, terpancar semula harapan. Kemudian, semangat kembali bertaman di hati, menceriakan hari. Indahnya manusia menjalankan tuntutan Allah. Biarlah sedikit lelah menahan terik matahari hingga menitis air mata. Rehatlah di malam hari yang dijadikan Allah dan mengadulah kepada-Nya serta memohon agar diberi kekuatan untuk menempuh hari siang.

Tetaplah menjadi sang pemburu di siang hari. Mengerjakan kewajipan yang dituntut Ilahi. Jangan hanya merenung nasib diri tanpa memburu rezeki yang diredhai.

(Sumber: LangitIlahi.com oleh Fatimah Al-Bukhary)

Komen


Berita Berkaitan