Sayang Sabah Facebook

Likes
Sayang Sabah Twitter

12,510

Followers

Sayang Sabah - Portal Berita Negeri Kita

SHAFIES’17 medan perkongsian kemahiran, kepakaran

2:42pm 09/03/2017 Leolerry Lajius 10 views Kota Kinabalu,Tempatan

Adik-beradik kembar, Aidil Asyraff Juakim (kiri) dan Aidil Afifat Juakim (kanan) berasal dari Ranau mendapat Johan dalam kategori Cake Deco Display Fondant and Pastillage menerima sijil kemenangan daripada Kamarlin (dua dari kiri).

KOTA KINABALU : Sabah Hospitality, Art and Food Innovation Exhibition 2017 (SHAFIES’17) dijadikan sebagai medan para pelajar Jabatan Pelancongan dan Hospitaliti berkongsi kemahiran serta kepakaran bersama pihak industri.

Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar, Datuk Seri Panglima Masidi Manjun berkata, program anjuran Politeknik Kota Kinabalu (PKK) itu dapat mencungkil bakat di samping membuka ruang kepada para pelajar membangunkan idea dan inovasi dalam bidang hospitaliti.

“Justeru, perkongsian pintar antara pelbagai pihak terutama dalam kalangan industri dan institusi pendidikan tinggi adalah penting bagi memastikan kemapanan pembangunan modal insan.

“Penganjuran program sebegini dapat menjadi platform terbaik bagi Politeknik mempamerkan pengetahuan dan ketrampilan pelajar dalam bidang berkenaan kepada semua pihak berkepentingan termasuk bakal majikan, persatuan, industri, bakal pelajar dan masyarakat umum,” katanya ketika berucap pada Majlis Perasmian Penutup SHAFIES’17 di Dewan Rafflesia, PKK, pada Selasa.

Dalam teks ucapannya yang disampaikan oleh Pembantu Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar, Datuk Kamarlin Ombi, beliau menjelaskan lebih kurang 16 ribu jawatan kosong pelbagai peringkat ditawarkan dalam industri berkenaan.

Jelasnya, masa depan kerjaya dalam bidang perhotelan sangat cerah dan sentiasa menjanjikan potensi besar di pasaran kerja terutama dalam usaha negara menarik 36 juta pelancong pada tahun 2020.

Sementara itu, menurut Pengarah PKK, Roslee Yahya, kebolehpasaran graduan dalam bidang itu amat memberangsangkan bagi sesi Disember 2015 iaitu 81.54 peratus bersamaan 53 orang daripada 65 graduan daripada sesi tersebut mendapat pekerjaan.

Menurut Roslee, secara keseluruhan, peratusan graduan yang mendapat kerja bagi tempoh sama, adalah 87.71 peratus iaitu 528 daripada 615 graduan bagi sesi Disember 2015./Penerangan-

 

Apa Komen dan Pendapat Anda

Artikel Berkaitan