Kota Kinabalu
Kota Kinabalu
Sandakan
Tawau
Lahad Datu
Keningau
Putatan
Semporna
Kudat
Papar
Ranau
Beaufort
Kota Belud

Sayang Sabah - Berita Negeri Kita

Shafie mula tugas rasmi KM Sabah

DATUK Seri Mohd Shafie Apdal pada hari pertama bertugas di Bangunan Pusat Pentadbiran Negeri Sabah (PPNS), di Kota Kinabalu. – Foto Edmund Samunting

 

KOTA KINABALU: Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal tiba untuk memulakan tugas rasmi di Pusat Pentadbiran Negeri Sabah (PPNS), di sini, dengan diiringi kawalan keselamatan polis.

Mengiringi beliau ialah Pengerusi PH Sabah, Christina Liew dan Timbalan Presiden WARISAN, Darell Leiking.

Beliau yang tiba pada jam 10.45 pagi disambut Ahli Parlimen Batu Sapi, Datuk Liew Vui Keong dan Setiausaha Kerajaan Negeri, Tan Sri Sukarti Wakiman.

Pemimpin lain yang hadir ialah Presiden Pertubuhan Pasok Momogun Kadazandusun Murut Bersatu (UPKO) Datuk Seri Madius Tangau yang sebelum ini mengumumkan UPKO keluar Barisan Nasional (BN) dan menyokong serta bekerjasama dengan pakatan WARISAN-PH bagi membentuk kerajaan negeri.

Beberapa bekas ADUN BN termasuk dua ADUN UPKO iaitu Datuk Abidin Madingkir (Paginatan) dan Ewon Benedick (Kadamaian) turut menyambut ketibaan Mohd Shafie.

Turut menyambut beliau ialah ADUN Kemabong, Jamawi Jaafar yang sebelum ini keluar UMNO dan menyatakan sokongan kepada kerajaan WARISAN-PH.

ADUN lain ialah Datuk Hamisa Samat (Tanjung Batu) dan Datuk Abduk Muis Picho (Sebatik) yang sebelum ini daripada UMNO menyokong pakatan WARISAN-PH.

Setiausaha Kerajaan Negeri, Tan Sri Sukarti Wakiman juga kelihatan menyambut Mohd Shafie.

Beberapa penyokong WARISAN turut kelihatan menunggu ketibaan Mohd Shafie di pekarangan PPNS.

Mohd Shafie mengangkat sumpah Ketua Menteri kelmarin apabila pakatan WARISAN-PH mendapat majoriti mudah 35 kerusi untuk membentuk kerajaan selepas enam ADUN BN menyatakan sokongan kepada pakatan berkenaan.

Bagaimanapun, Pengerusi BN, Tan Sri Musa Aman yang mengangkat sumpah Ketua Menteri pada Khamis lalu belum meletak jawatan, malah menjelaskan beliau masih Ketua Menteri yang sah.

Musa bersama anggota Kabinet yang mengangkat sumpah bersamanya turut mengadakan mesyuarat pertama Kabinet pada Sabtu lalu.

Setakat ini, belum diketahui sama ada Musa juga hadir di PPNS untuk memulakan tugas rasmi di pejabat Ketua Menteri yang terletak di tingkat 30.

Pasukan keselamatan kelihatan berkawal di PPNS bagi mengawal keadaan berikutan kemungkinan dua Ketua Menteri hadir memulakan tugas rasmi hari ini. – BH ONLINE

Komen


Berita Berkaitan