Kota Kinabalu
Kota Kinabalu
Sandakan
Tawau
Lahad Datu
Keningau
Putatan
Semporna
Kudat
Papar
Ranau
Beaufort
Kota Belud

Sayang Sabah - Berita Negeri Kita

Shafie kemuka permohonan batal saman difailkan Musa

DATUK Seri Mohd Shafie Apdal (kanan) dan Tan Sri Musa Aman.

 

KOTA KINABALU: Datuk Seri Mohd Shafie Apdal mengemukakan permohonan ke Mahkamah Tinggi di sini, semalam, untuk membatalkan saman oleh Tan Sri Musa Aman yang mencabar pelantikannya sebagai Ketua Menteri.

Mohd Shafie mengemukakan permohonan itu atas alasan bekas Ketua Menteri itu tidak mempunyai alasan munasabah untuk mencabar pelantikannya.

Dalam kenyataannya, Mohd Shafie berkata, saman difailkan Musa bersifat ‘skandal dan remeh’ serta penyalahgunaan proses mahkamah.

Presiden Parti Warisan Sabah (WARISAN) itu adalah defendan kedua dinamakan Musa dalam saman difailkan pada 17 Mei lalu yang mana Yang di-Pertua Negeri, Tun Juhar Mahiruddin sebagai defendan pertama.

Permohonan Mohd Shafie difailkan melalui firma guaman Messrs Lind Willie Wong & Chin.

Dalam afidavit yang menyokong permohonannya untuk membatalkan saman itu, Mohd Shafie berkata, tidak dapat dipertikaikan bahawa beliau adalah Ketua Menteri Sabah yang sah selepas partinya bersama PKR, DAP dan Pertubuhan Pasokmomogun Kadazandusun Murut Bersatu (UPKO) mendapat majoriti bagi membentuk kerajaan.

Ia berdasarkan sokongan 35 wakil rakyat berbanding Barisan Nasional (BN) Sabah bersama Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) dengan 25 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) daripada keseluruhan 60 kerusi DUN.

Mohd Shafie berkata, beliau juga mengangkat sumpah di hadapan Juhar mengikut Perkara 6 (3) Perlembagaan Sabah yang membolehkan Yang di-Pertua Negeri melantik Ketua Menteri berdasarkan penghakimannya bahawa orang itu mendapat majoriti.

“TYT (Tuan Yang Terutama) juga bertindak mengikut Perkara 7 (1) Perlembagaan Negeri kerana Musa, yang diangkat (Ketua Menteri) pada 10 Mei, telah kehilangan majoriti dalam DUN,” katanya menerusi afidavit permohonannya.

Beliau berkata, sejajar dengan semangat artikel itu, Musa tidak meminta pembubaran DUN untuk membuka laluan kepada pilihan raya baharu dan sepatutnya meletak jawatan bersama anggota Kabinetnya.

Dalam permohonannya, Mohd Shafie berkata, isu itu juga berdasarkan kes Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin (daripada PAS) lawan Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir (BN) dalam situasi sama di Perak yang mana mahkamah memutuskan Nizar disifatkan meletak jawatan dan mengosongkan jawatan Menteri Besar walaupun tanpa mengemukakan peletakan jawatan.

Dalam afidavitnya, Shafie juga menimbulkan persoalan sama ada upacara angkat sumpah Musa pada 10 Mei lalu dilakukan akibat tekanan susulan laporan polis dibuat Yang di-Pertua Negeri terhadap Musa berkaitan ugutan jenayah.

Mohd Shafie juga mengatakan beberapa ADUN UPKO mendakwa mereka dihalang di kediaman rasmi Ketua Menteri di Seri Gaya dan didakwa terpaksa membuat kenyataan media menyokong Musa.

Pada 17 Mei lalu, Musa memfailkan saman terhadap Juhar dan Mohd Shafie menerusi firma guaman Messrs FT Ahmad & Co, bagi mendapatkan pengisytiharan bahawa beliau kekal sebagai Ketua Menteri yang sah mengikut undang-undang.

Saman berkenaan juga mendakwa bahawa pengakuan sumpah Mohd Shafie sebagai Ketua Menteri oleh Yang di-Pertua Negeri adalah tidak berperlembagaan dan tidak sah. –¬†Oleh Avila Geraldine/BH Online

Komen


Berita Berkaitan