Kota Kinabalu
Kota Kinabalu
Sandakan
Tawau
Lahad Datu
Keningau
Putatan
Semporna
Kudat
Papar
Ranau
Beaufort
Kota Belud

Sayang Sabah - Berita Negeri Kita

Shafee Abdullah dijangka didakwa pagi ini

Tan Sri Shafee Abdullah. – Foto NSTP

 

PUTRAJAYA: Peguam kepada bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah dijangka didakwa di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur pagi ini terhadap empat pertuduhan pengubahan wang haram.

Menurut sumber, beliau ditahan di sekitar Kuala Lumpur, awal pagi ini.

“Beliau didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 4(1)(b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001. (AMLATFPUAA),” kata sumber berkenaan.

Baru-baru ini, Datuk Seri Anwar Ibrahim mendakwa pasukan peguamnya sudah menyerahkan afidavit yang ditandatangani oleh pegawai Jabatan Peguam Negara mengesahkan dakwaan pembayaran dibuat kepada Muhammad Shafee, kepadanya.

Dalam kenyataan yang dikeluarkan oleh pejabatnya, Anwar berkata, pembayaran sebanyak RM9.5 juta itu dibuat oleh bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak antara September 2013 sehingga Februari 2014.

“Umum mengetahui bahawa Muhammad Shafee bertindak sebagai pendakwa raya khas dalam rayuan terhadap pembebasan saya bermula Julai 2013 sehingga selesai di Mahkamah Persekutuan pada Februari 2015.

“Saya mengulangi bahawa Muhammad Shafee tidak sepatutnya dibenarkan bertindak sebagai pendakwa raya dalam kes rayuan itu. Pelantikan seorang pendakwa raya bukanlah amalan biasa bagi Peguam Negara dan lebih ganjil lagi yang dilantik itu seorang kenalan rapat Najib,” katanya.

Anwar berkata, Muhammad Shafee sendiri menjadi saksi kejadian konspirasi terhadapnya yang berlaku dalam kehadiran Najib dan membuatkan kedua-dua mereka berkemungkinan menjadi saksi.

“Apabila Muhammad Shafee menerima RM 9.5 juta dari akaun peribadi Najib sewaktu beliau bertugas sebagai pendakwa raya dalam rayuan kes saya, ia menghancurkan kredibiliti beliau sebagai seorang ejen Jabatan Peguam Negara yang tidak berat sebelah.

“Afidavit itu sedang disebar secara meluas. Saya percaya dalam Malaysia Baharu ini kita tidak boleh berkompromi dalam komitmen kita terhadap kedaulatan undang-undang dan mengembalikan kredibiliti institusi kehakiman serta para peguam,” katanya.

Menurutnya, salah guna kuasa seperti itu tidak patut dibenarkan berterusan, dan mesti ada pihak yang bertanggungjawab.

“Saya gesa pihak yang bertanggungjawab untuk menjaga institusi kita mempertimbang langkah-langkah memperbetul keadaan supaya rakyat Malaysia, malah juga dunia yakin terhadap integriti sistem perundangan kita,” katanya. – BH ONLINE

Komen


Berita Berkaitan