Kota Kinabalu
Kota Kinabalu
Sandakan
Tawau
Lahad Datu
Keningau
Putatan
Semporna
Kudat
Papar
Ranau
Beaufort
Kota Belud

Sayang Sabah - Berita Negeri Kita

Shabery Ingatkan Masyarakat Jangan Terpengaruh Berita Tidak Sahih

shaberry

KEMAMAN– Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek mengingatkan masyarakat supaya tidak terpengaruh dengan berita dan maklumat tidak sahih mengenai nahas pesawat Malaysia Airlines (MAS) Penerbangan MH17 yang disebarkan melalui media sosial.

Sebaliknya, mereka boleh merujuk kepada berita dan maklumat media rasmi untuk mengetahui perkembangan insiden itu.

“Saya mengingatkan masyarakat supaya tidak mudah terpengaruh dan terpedaya dengan banyak sekali andaian, spekulasi, teori yang dikeluarkan melalui facebook dan media sosial lain.

“Ini isu dunia, isu yang melibatkan kuasa besar dan isu yang melibatkan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu(PBB).

“Jangan ada antara kita yang merasakan mereka lebih pandai daripada PBB, lebih pandai daripada pakar-pakar penerbangan hingga membuat pelbagai tohmahan ,” kata Ahmad Shabery kepada pemberita ketika ditemui selepas majlis pengagihan 1,000 bungkus bubur lambuk Empower Wilayah Ekonomi Pantai Timur kepada pengguna jalan raya di Centre Point di Kemaman, Ahad.

Hadir sama Pengurus Besar Bahagian Pembangunan Sosial Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECERDC), Zulkifli Ya’cob.

Ahmad Shabery meminta masyarakat supaya memberi kepercayaan penuh kepada kerajaan merungkai punca nahas itu.

“Jangan pula ada antara kita yang cuba mengambil kesempatan politik. Saya percaya yang terbaik ialah memberikan sepenuh sokongan kepada usaha kerajaan menyiasat, mendapatkan kebenaran dan yang paling penting membawa mereka ke muka pengadilan. Inilah harapan saya kepada semua.

“Saya berterima kasih ada pemimpin pembangkang yang memberikan sokongan kepada kepimpinan negara tetapi ada juga mengambil kesempatan mencari kesempatan politik daripada peristiwa yang berlaku,” katanya.

Beliau berkata dalam mendapatkan laporan sebenar mengenai insiden MH17, kerajaan menghantar wakil media daripada BERNAMA dan RTM ke Ukraine.

Pesawat MH17 dalam perjalanan dari Amsterdam ke Kuala Lumpur ketika ia terhempas di Donetsk, timur Ukraine, berdekatan sempadan Rusia pada Khamis.

Pesawat malang itu membawa 283 penumpang dan 15 anak kapal itu.

Media asing melaporkan pesawat Boeing 777-200 itu dipercayai ditembak jatuh namun sehingga kini tiada siapa yang tampil mengaku bertanggungjawab terhadap insiden itu.

Komen


Berita Berkaitan