Kota Kinabalu
Kota Kinabalu
Sandakan
Tawau
Lahad Datu
Keningau
Putatan
Semporna
Kudat
Papar
Ranau
Beaufort
Kota Belud

Sayang Sabah - Berita Negeri Kita

Setiap Kesusahan Pasti Ada Kemudahan

Gambar Hiasan

 

Melalui fasa hidup di dunia, pasti ada banyak cabaran dan ujian. Tidak kiralah, ianya berbentuk cabaran bekerja, dakwah, kehilangan harta benda, tidak kurang juga menghadapi tomahan dan fitnah. Apabila berlakunya perkara sebegini, pasti ianya akan menggugat emosi dan menguji keimanan seseorang. Sehinggakan, ada jiwa yang meronta dan marah, di mana Tuhan ketika ini.

 

Melalui Saat Sukar

Mahu ataupun tidak, setiap manusia yang mengakui dirinya beriman kepada Allah SWT, dia perlu menerima setiap ujian yang menimpa. Bukankah Allah SWT telah berfirman :

“ Apakah manusia itu mengira bahawa mereka dibiarkan saja mengatakan: “Kami telah beriman”, sedang mereka tidak diuji lagi?” (Al-Ankabut :2)

Justeru, apabila kita menghadapi masa-masa sukar dalam hidup, firman Allah di atas perlulah menjadi tali penguat setiap masa. Bukanlah dengan cara kita mengherdik dan menjerit seakan-akan marah kepada takdir dan ujian.

Ada manusia, apabila takdir tidak menyebelahi keinginannya, atau dia kehilangan sesuatu yang dihajatkannya, terus sahaja dia mengamuk, menghempas barang, menjerit sekuat hati dan sebagainya. Kepada siapa kemarahan itu dihemburkan? Tidakkah itu seakan-akan bentuk ekspresi tidak setuju dengan apa yang ditentukan oleh Allah SWT?

 

Solusi : Bertakwa & Bersabarlah

Sebagai manusia yang diciptakan. Sebagai hamba yang menetap dan memakai status ‘menumpang’ di bumi Allah SWT ini, memang wajib dan tiada pilihan bagi kita untuk bertakwa dan bersabar dengan ujian Allah SWT.

Kedua-dua elemen ini adalah seperti vaksin untuk sentiasa tenang dalam menghadapi detik sukar dalam hidup. Perhatikan dalam firman Allah SWT di bawah :

“Allah tidak membebani seseorang melainkan sesuai dengan kesanggupannya. Ia mendapat pahala (dari kebajikan) yang diusahakannya dan ia mendapat siksa (dari kejahatan) yang dikerjakannya.     (Al Baqarah : 286 )

Apabila menghadapi kesusahan, ingatlah pada firman Allah SWT ini. Betapa dalam beban yang kita tanggung pun sebenarnya terselit kasih sayang Allah SWT. Buktinya, Dia meletakkan sesuatu beban di bahu kita dengan bebanan yang sesuai dan berpadanan dengan diri kita.

Dalam satu lagi firman Allah SWT :

“Jika kamu memperoleh kebaikan, nescaya mereka bersedih hati, tetapi jika kamu mendapat bencana,  mereka bergembira kerananya. Jika kamu bersabar dan bertakwa, nescaya tipu daya mereka sedikitpun tidak mendatangkan kemudaratan kepadamu. Sesungguhnya Allah mengetahui segala apa yang mereka kerjakan.” (Ali Imran : 120)

Oleh itu, bertakwa (takut dan mengharap hanya pada Allah) serta bersabar adalah perkara penting apabila melalui masa-masa sukar dalam hidup kita.

 

Penutup : Setiap Kesukaran Pasti Ada Kemudahan

Percayalah, setiap kesusahan yang kita alami, Allah SWT tidak akan membiarkan kita terkapai-kapai lemas dalam arus kesukaran itu. Sebab itu dalam surah AtTholaq ayat 7, Allah SWT berfirman :

“Allah kelak akan memberikan kelapangan sesudah kesempitan”

Begitu juga dalam Surah Al Insyirah Ayat 5 hingga 6:

“Kerana sesungguhnya sesudah kesulitan ada kemudahan…”

“Sesungguhnya sesudah kesulitan ada kemudahan…”

Justeru, hadapilah cabaran dalam hidup kita dengan menjadikan firman-firman Allah SWT ini sebagai penguat dalam diri.

Hidup sebagai hamba memang begini.

Pasti akan ada ketika kita menghadapi masa-masa yang sukar.

Tapi jika kita beriman, ingatlah berkali-kali.

Setiap kesukaran pasti ada kemudahan.

(Sumber: LangitIlahi.com oleh Asyraf Alpandi)

Komen


Berita Berkaitan