Sayang Sabah Facebook

Likes
Sayang Sabah Twitter

11,768

Followers

Sayang Sabah - Portal Berita Negeri Kita

SESB Di Landasan Betul Beri Perkhidmatan Elektrik Setanding Di Semenanjung

8:26pm 21/05/2016 Pak Roshan 196 views Berita Pilihan,Mutakhir,Tawau,Tempatan

sesb

TAWAU : Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB) kini berada di landasan yang betul dalam memberikan perkhidmatan elektrik di seluruh Sabah agar setanding dengan di Semenanjung, kata Pengarah Urusan SESB Abd Razak Sallim.

Beliau berkata perkara itu dimanifestasikan melalui catatan Sistem Indeks Purata Tempoh Gangguan (SAIDI) terkini SESB pada tahun ini yang menunjukkan peningkatan iaitu 71 minit dan tahunan pada 176 minit, berbanding tempoh sama tahun lepas.

SAIDI adalah tempoh purata gangguan dalam minit yang dialami oleh pelanggan untuk setahun dan jika kadar SAIDI bagi sebuah kawasan rendah, ia bermaksud pembekalan elektriknya lebih berkaliber.

“Bagaimanapun masih banyak ruang untuk penambahbaikan yang perlu dilakukan agar catatan SAIDI di negeri ini mampu mencecah hanya dua angka menjelang tahun 2020 dengan pelbagai inisiatif sedang giat dilaksanakan antaranya Ops Marak Bersepadu (OMB).

“Dalam operasi itu, kita memperkenalkan tagline ‘tiada minggu tanpa operasi’ iaitu membuat selenggaraan menyeluruh untuk membaik pulih talian dengan fokus kepada mengganti peralatan usang pada fasa pertama serta menaik taraf sistem bekalan pada fasa berikutnya,” katanya pada majlis perasmian Projek Bekalan Elektrik Luar Bandar (BELB) di Kampung Sungai Udin, dekat sini, hari Sabtu. Mengenai BELB, Abd Razak berkata menurut statistik dikeluarkan Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah (KKLW) menunjukkan pembekalan elektrik ke kawasan luar bandar di Sabah telah mencapai 95 peratus.

Katanya kerajaan memperuntukkan lebih RM3 bilion untuk melaksanakan projek BELB seluruh negeri ini sejak 2011 yang melibatkan kerja-kerja membangunkan sistem penjanaan penghantaran dan pembahagian bekalan elektrik yang baharu di kawasan luar bandar.

Beliau berkata lebih 1,000 pengguna di Jalan Tawau-Kalabakan telah mendapat manfaat langsung daripada pelaksanaan projek BELB zon dua Sabah bagi tahun 2011-2012 secara reka dan bina dengan kos peruntukan bernilai RM50 juta.

“Projek berkenaan telah siap sepenuhnya pada bulan September 2015 dan mendapat pembiayaan sepenuhnya daripada KKLW di mana skop projek berkenaan melibatkan kerja-kerja menaik taraf sistem di sekitar kawasan jalan Tawau-Kalabakan.

“Antara kawasan yang telah menerima kesan positif daripada pelaksanaan projek itu ialah Kampung Sungai Udin dan beberapa buah kampung kawasan berdekatan termasuk Brumas, Dumpas dan Merotai,” katanya.

Sementara itu, Abd Razak berkata sehingga kini bilangan pengguna di Sabah dan Labuan berjumlah 558,000 dengan permintaan beban maksimum tenaga yang dicatatkan sebanyak 944.9 megawatt (MW).

— BERNAMA

Apa Komen dan Pendapat Anda

Artikel Berkaitan