Sayang Sabah Facebook

Likes
Sayang Sabah Twitter

11,733

Followers

Sayang Sabah - Portal Berita Negeri Kita

SESB Beli 14 Set Jana Kuasa Mudah Alih Atasi Masalah Gangguan Elektrik

4:04pm 06/09/2016 Pak Roshan 173 views Kota Kinabalu,Mutakhir,Tempatan

sesb

KOTA KINABALU : Set jana kuasa mudah alih baharu milik Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB) adalah sebahagian daripada inisiatif berterusan syarikat itu dalam usaha mengurangkan impak gangguan bekalan elektrik kepada pengguna Sabah.

Pengurus Besar Kanan (Pengurusan Aset) SESB Muhamad Nazri Pazil berkata SESB membelanjakan RM12 juta bagi membeli 14 set jana kuasa mudah alih baharu itu yang akan ditempatkan di beberapa kawasan kritikal dan strategik seperti Kota Kinabalu, Sandakan, Tawau, Beaufort, Keningau, Tuaran, Kota Marudu dan Labuan.

Katanya setiap set jana kuasa bernilai RM840,000 dan masing-masing mempunyai keupayaan untuk membekalkan bekalan elektrik setinggi 500 kilowatt. Pada masa ini, SESB telah menerima tujuh set jana kuasa mudah alih ini manakala selebihnya akan tiba pada Oktober depan dan kesemua set ini akan dikendalikan sendiri oleh pekerja SESB yang kompeten.

“Dengan adanya unit ini, SESB mampu meningkatkan lagi mutu perkhidmatan kepada pengguna dengan memberi respons yang cepat bila ada berlaku gangguan bekalan elektrik di kawasan mereka,” katanya.

Muhamad Nazri berkata demikian kepada pemberita selepas menerima replika kunci set jana kuasa mudah alih itu daripada Ketua Pegawai Eksekutif WZS PowerGen Sdn Bhd Marizan Nor Basirun di perkarangan Wisma SESB di sini hari ini.

WZS PowerGen adalah syarikat Malaysia yang dianugerahkan untuk mereka bentuk dan memasang enjin mudah alih tersebut.

Mengulas lanjut, Muhamad Nazri berkata setiap satu set jana kuasa itu mampu menyalurkan bekalan kepada 200 hingga 300 rumah dalam satu kawasan yang berlaku gangguan bekalan elektrik selain kawasan perniagaan.

Setakat ini, katanya, SESB mempunyai sembilan set jana kuasa mudah alih yang berkeupayaan 1 megawatt setiap satu dan dengan tambahan 14 set jana kuasa mudah alih baharu itu menjadikan SESB memiliki 23 set secara keseluruhannya.

Dalam perkembangan lain, Muhamad Nazri berkata SESB sedang menjalankan ‘Op Secure’ mulai Ogos lepas yang antara lain membaiki dan menggantikan segala kerosakan di setiap tiang elektrik di 47 kawasan dikenal pasti di Kota Kinabalu sebagai usaha mengurangkan gangguan bekalan elekrik di kawasan terbabit.

“Sekarang kami sudah membuat kerja-kerja pembaikan di tujuh kawasan dan kami menyasarkan semua akan siap dalam tempoh enam bulan,” katanya.

Beliau berkata SESB turut mengenal pasti beberapa kawasan di Sandakan, Tawau dan Labuan untuk pembaikan dan menggantikan kerosakan di setiap tiang elektrik bagi meningkatkan lagi mutu pembekalan elektrik.

— BERNAMA

Apa Komen dan Pendapat Anda

Artikel Berkaitan