Kota Kinabalu
Kota Kinabalu
Sandakan
Tawau
Lahad Datu
Keningau
Putatan
Semporna
Kudat
Papar
Ranau
Beaufort
Kota Belud

Sayang Sabah - Berita Negeri Kita

SESB Bagai Lilin Membakar Diri

kpsb2

KUALA LUMPUR : Bagaikan ‘Lilin Membakar Diri’, Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB) tidak pernah berputus asa memberikan perkhidmatan kepada rakyat Sabah sekali pun sentiasa bergelut dari segi kewangan yang melampaui kemampuannya.

Bertahun-tahun SESB menghadapi hambatan perlunya menaikkan hasil kutipan penjualan tenaga berikutan pelaburan yang besar dan peningkatan kos operasi untuk perkhidmatan yang kini meliputi lebih 80 peratus kawasan di Sabah.

Namun, tidak ada kenaikan tarif dilaksanakan sehinggalah tahun 2011, sedangkan ia dibenarkan berbuat demikian lebih awal lagi sebanyak tiga kali mengikut perjanjian penswastaan Lembaga Letrik Sabah (LLS) menjadi SESB pada 1998.

“Walaupun dalam pakej perjanjian penswastaan LLS termaktub persetujuan untuk TNB (Tenaga Nasional Bhd) melaksanakan kenaikan kadar tarif sebanyak 28 peratus pada 1999, 20 peratus pada 2004 dan 3.58 peratus pada 2008, namun ketiga-tiga rancangan kenaikan itu tidak dilaksanakan,” kata sumber.

Menerusi penswastaan pada 17 tahun lalu itu, TNB memiliki 80 peratus kepentingan dalam SESB manakala baki 20 peratus lagi dipegang oleh kerajaan negeri Sabah.

Kerajaan negeri menswastakan LLS berikutan lembaga itu menanggung beban kewangan yang amat berat untuk meneruskan pembangunan bekalan tenaga elektrik di Sabah, yang ketika itu perkhidmatannya meliputi sekadar 50 peratus kawasan di Sabah.

Lantas TNB memikul amanah besar untuk memastikan hasrat kerajaan negeri itu mampu disempurnakan demi kesejahteraan rakyat sebuah negeri, yang mempunyai cabaran berbeza dari segi rupa bentuk dan keluasan buminya.

Berdasarkan maklumat yang diperoleh, sebaik SESB diwujudkan, TNB terus menyuntik bantuan kewangan berjumlah RM857 juta bermula 1998 dan angkanya meningkat saban tahun.

Baru-baru ini, Persatuan Pemaju Hartanah Perumahan Sabah (SHAREDA) dilaporkan mengkritik TNB dengan mendakwa kononnya syarikat itu tidak menyuntik modal kepada SESB yang mengalami kerugian dalam operasinya.

Walhal, untuk tempoh 1998 hingga 2011, pelbagai pihak melaburkan sehingga RM5.3 bilion sebagai perbelanjaan modal (capex) bagi membangunkan sistem dan infrastruktur melibatkan penjanaan, penghantaran dan pembahagian di Sabah.

Menurut statistik laman sesawang Suruhanjaya Tenaga, sejumlah RM9 bilion lagi diperlukan untuk projek-projek penjanaan, penghantaran dan pembahagian bagi tempoh 2012 hingga 2020.

Pada masa yang sama, campuran penjanaan menjadi lebih mahal dengan perubahan penggunaan bahan api merangkumi gas (67 peratus), minyak (21 peratus), biomas (3 peratus) dan hidro (9 peratus) berbanding 17 tahun lalu dengan gas (31 peratus), minyak (52 peratus) dan hidro (17 peratus).

Jika diimbas minat pihak lain terhadap cadangan penswastaan LLS, syarikat yang berunding meletakkan sasaran kenaikan tarif sehingga 40 peratus bagi mengimbangi suntikan dana dan risiko pelaburannya.

Ketua Menteri Sabah ketika itu, Datuk Yong Teck Lee dilaporkan berkata rancangan konsortium empat pihak yang ditubuhkan untuk mengambil alih pengurusan LLS telah menemui kegagalan.

Beliau menjelaskan bahawa dua daripada ahli konsortium itu mahukan supaya tarif elektrik Sabah dinaikkan sehingga 40 peratus bersempena proses penswastaan LLS diselesaikan.

Menurut satu sumber industri, TNB tidak mendapat pulangan setimpal melalui pelaburannya dalam SESB, sekali gus dilihat lebih mengutamakan kepentingan pembangunan negeri mengatasi keuntungan.

“Perbelanjaan untuk usaha transformasi TNB turut diperluaskan ke SESB agar kedua-dua entiti berkenaan mara dengan lebih yakin serta mampu menghadapi cabaran dan tuntutan semasa,” katanya.

Di sebalik cabaran kos ini, SESB di bawah tadbir urus TNB berterusan menaik taraf sistemnya bagi membolehkan bekalan elektrik dinikmati lebih 500,000 pengguna ketika ini, hampir sekali ganda berbanding lebih 260,000 pengguna pada 1998.

Statistik di laman sesawang Suruhanjaya Tenaga juga mengesahkan bahawa sehingga penghujung 2011, lebih 81 peratus kawasan di Sabah mendapat bekalan elektrik berbanding 50 peratus 17 tahun lalu.

Jelas sekali perbekalan elektrik di Sabah memerlukan pengorbanan dan ketahanan dalam mengharungi cabaran kos yang tinggi berbanding pulangannya.

— BERNAMA

Komen


Berita Berkaitan