Sayang Sabah Facebook

Likes
Sayang Sabah Twitter

11,777

Followers

Sayang Sabah - Portal Berita Negeri Kita

Seruan Surah Ghafir, Ayat 60 Untuk Berdoa

1:55am 19/11/2015 Zakir Sayang Sabah 93 views i-Muslim
Gambar Hiasan

Gambar Hiasan

Berdoa. Nampak seperti perkara yang remeh. Ungkapan permintaan kepada Tuhan.

“Alah, bila-bila boleh diusahakan.”

Benar. Di dalam Islam, untuk berdoa, untuk memohon kepada Tuhan, tidak mesti berada di dalam rumah ibadah, tidak mesti kena berada di atas sejadah, tidak perlu bayar apa-apa, dan tak mesti perlu korbankan binatang atau sesiapa. Terus sahaja berdoa, meminta kepada Allah SWT. Tidak ada hijab, tiada birokrasi, tiada orang tengah.

Namun, ibadah yang amat mudah ini sering dilayan dengan tidak sepatutnya. Dipandang enteng akan besarnya ia. Dan kadangkala, dilihat dari perspektif yang tidak benar. Lantas menimbulkan pelbagai kekeliruan.

Maka di dalam artikel ini kita cuba mentadabbur ayat ke-60 di dalam Surah Ghafir.

Allah SWT berfirman:

“Dan Tuhan kamu berfirman: Berdoalah kamu kepadaKu nescaya Aku perkenankan doa permohonan kamu. Sesungguhnya orang-orang yang sombong takbur daripada beribadat dan berdoa kepadaKu, akan masuk neraka Jahannam dalam keadaan hina.” Surah Ghafir ayat 60.

Ulasan Asy-Syahid Syed Qutb

Asy-Syahid dalam mengulas ayat ini, menulis:

“Bertawajjuh dan beribadat kepada Allah serta berdoa dan memohon kepadaNya merupakan amalan-amalan yang boleh menyembuhkan hati dari perasaan takbur yang berkecamuk di dalamnya, hingga mendorongnya menyangkal ayat-ayat Allah SWT tanpa hujah dan bukti.

                Allah SWT sentiasa membuka pintu-Nya supaya kita bertawajjuh dan berdoa kepadaNya. Dia telah mengisytiharkan kepada kita bahawa Dia mewajibkan ke atas diriNya memperkenankan doa siapa sahaja yang berdoa kepadaNya, dan Dia telah memberi amaran kehinaan dan azab neraka kepada orang-orang yang sombong dari mengerjakan ibadat kepadaNya:

                “Dan Tuhan kamu berfirman: Berdoalah kamu kepadaKu nescaya Aku perkenankan doa permohonan kamu. Sesungguhnya orang-orang yang sombong takbur daripada beribadat dan berdoa kepadaKu, akan masuk neraka Jahannam dalam keadaan hina.” Surah Ghafir ayat 60.

                Berdoa mempunyai adab caranya iaitu mengikhlaskan hati kepada Allah dan menaru sepenuh kepercayaan bahawa Allah akan memperkenankannya serta jangan mencadangkan kepada Allah satu bentuk perkenan yang tertentu, atau menentukan waktu atau tempat tertentu. Kerana mengaturkan cadangan-cadangan seperti ini bukanlah dari adab memohon kepada Allah.”

Kemudian Asy-Syahid Syed Qutb mengulas bahawa orang-orang yang sombong dari bertawajjuh kepada Allah, maka balasan mereka yang setimpal ialah mereka diheret ke dalam Neraka dalam keadaan yang hina dina. Asy-Syahid Syed Qutb menganggap bahawa itulah kesudahan bagi sikap takbur yang mengakar di dalam hati manusia, sedang mereka hidup di bumi yang kecil ini serta kehidupan dunia yang murah ini. Namun mereka telah larut di dalam kecil dan kemurahan itu hingga membuat mereka lupa kepada kebesaran penciptaan Allah di samping melupakan keagungan Allah serta melupakan akhirat yang tetap akan datang. Ini membuatkan mereka lupa bahawa sikap sedemikian sekadar menempah kedudukan yang hina dina di akhirat.

 

Kadang Kita Terlupa Berdoa

Ada masa, kita telah berusaha bersungguh-sungguh, sepenuh tenaga, memikirkan semua perancangan dan strategi, namun tidak juga berjaya. Resah dan gelisah kita, tertanya-tanya mengapa kita tidak dapat maju ke hadapan, sedang semua persediaan sudah amat rapi. Pada saya, kadang kita terlupa untuk berdoa.

Sebagai contoh, saya pernah melalui satu peristiwa di dalam hidup saya di mana ada rakan ingin berdakwah kepada seorang lagi rakan, yang nakal. Segala usaha telah dicuba, segala seni dakwah telah dipraktikkan, namun masih juga tidak menampakkan hasil. Ini membuatkan rakan itu kecewa dan tertekan. Saya kemudiannya berkata kepadanya: “Enta selalu tak doakan dia? Agar dapat dilembutkan hati, dan mendapat petunjuk daripada Allah SWT?”

Kawan saya, seorang yang berilmu, tetapi bila saya sarankan sedemikian, dia seperti baru tersedar akan perkara itu. “Ha’ah la, ya kan.”

Kadang kita terlupa untuk berdoa. Berdoa sebenarnya tidak menjamin kita mesti mendapat seperti apa yang kita doakan. Namun doa hakikatnya adalah terapi hati. Ianya bukan semata-mata bertujuan untuk kita mendapat apa yang kita doakan, tetapi lebih kepada menyedarkan diri kita bahawa kita ini hanyalah hamba yang kerdil dan lemah. Maka hamba yang lemah ini, sepatutnya menyandarkan dirinya kepada Yang Maha Kuat.

Setelah berusaha dan berdoa, rasa resah dan gelisah akan bertukar dengan rasa sangka baik kepada Yang Maha Kuat. Kita tahu, Dia berupaya memakbulkan doa kita, dan sesungguhnya Dia sangat tahu apa yang baik buat kita. Jikalah apa kita hajatkan tidak tercapai sekalipun, selepas berdoa dengan bersungguh-sungguh, kita faham, itu bukanlah untuk kita. Kita bersangka baik dan yakin bahawa ada sesuatu yang lebih baik buat kita, sedang Allah SWT sediakan.

Ini kuasa doa.

Terlupa berdoa, membuatkan jiwa kita resah dan mudah dihambat kekecewaan. Mengapa? Kerana kita meletakkan 100% beban kepada usaha kita. Apabila gagal atau tidak tercapai, semestinya perasaan gagal itu diletakkan sepenuhnya ke atas diri kita. Kita akan asyik bertanya, kenapa? Di mana silap? Dan kita akan larut dengan persoalan itu hingga tidak berkesudahan.

Namun sekiranya kita seorang yang punya pergantungan kepada Allah SWT, sering merendah diri dengan mengiringi usaha-usaha kita bersama doa kepadaNya, kita takkan rasa terbeban sedemikian. Kita meletakkan pergantungan kita kepada Allah SWT. Allah Yang Maha Berkuasa, Allah Yang Maha Kaya, Allah SWT Tuhan Semesta Alam. Apakah Allah akan menzalimi kita?

Daripada Abu Dzar Al-Ghifari RA, Rasulullah SAW telah bersabda menyampaikan apa yang diriwayatkan daripada Tuhannya(yakni Allah SWT): “Wahai hamba-hamba-Ku! Sesungguhnya Aku mengharamkan ke atas diri-Ku kezaliman dan Aku menjadikan ia dikalangan kamu sebagai perkara yang diharamkan, maka janganlah kamu saling zalim menzalimi di antara satu sama lain.” Hadith qudsi riwayat Muslim.

Di dalam Al-Quran, Allah SWT berfirman:

“Sesungguhnya Allah tidak menganiaya manusia sedikitpun, akan tetapi manusia jualah yang menganiaya diri mereka sendiri.”Surah Yunus ayat 44.

Justeru, jangan lupa berdoa, mengkerdilkan diri, minta dipermudahkan urusan, minta apa yang kita mahu, nyatakan, merintih kepada Allah, mengadu kepadaNya.

InsyaAllah, suasananya akan berbeza berbanding semata-mata berusaha dengan tenaga kita yang terbatas.

 

Doa Tanpa Usaha

Berdoa pula bukanlah kayu magik. Berdoa, kemudian terus tercapai apa yang dihajati. Kita telah membincangkan ayat ke-11 Surah Ar-Ra’d yang membawa kefahaman bahawa Allah takkan ubah nasib sesuatu kaum, melainkan kaum itu mengubah apa yang ada pada diri mereka.

Justeru doa perlu diiringi dengan usaha. Usaha pula ialah usaha yang terbaik. Usaha yang bersungguh-sungguh. Bukan usaha separuh daya, mahu tak mahu, sekadar melepaskan batok di tangga.

“Kalau macam itu, sebenarnya kitalah beri rezeki kepada diri kita sendiri. Bukannya Allah. Kalau kena usaha baru dapat hasil, apa gunanya doa? Buat apa berdoa?”

Ini mungkin terdetik di dalam diri kita. Logik akal tidaklah salah, namun kadang kita berfikir terlalu singkat, lantas logik yang kita bawa menjadi cacat.

Kita berusaha, itu tanggungjawab kita. Nak buka laci, apakah dengan saya berdoa tanpa bergerak membuka laci, laci itu akan terbuka dengan sendirinya? Sunnatullah yang ditetapkan oleh Allah SWT tidak membenarkan perkara itu berlaku, melainkan Allah SWT benar-benar ingin menunjukkan keajaiban. Namun, sunnatullahnya, kebiasaan yang ditetapkanNya, tidak. Tetapi siapakah yang membenarkan laci itu terbuka apabila saya berusaha membuka laci itu? Itulah dia perkenan Allah SWT. Allah SWT boleh sahaja jadikan saya ditimpa kemalangan sebelum membuka laci, atau tiba-tiba membebankan saya dengan urusan kecemasan lain yang menghalang saya dari membuka laci, atau membuatkan laci itu bermasalah hingga tak mampu dibuka oleh saya.

Begitulah dengan rezeki. Kita berusaha mencari rezeki. Bersungguh-sungguh, dengan cara yang halal dan toyyiba. Namun akhirnya, yang nak memberi rezeki itu ialah Allah SWT.

Seorang usahawan berjaya, Tuan Hj Kapten Yunus namanya, antara pemilik syarikat perkapalan Preston Shipyard Sdn Bhd, dan pernah mendapat anugerah Geneva pada tahun 2014, berkongsi kepada saya:

“Usaha, kita usaha yang terbaik. Tetapi hubungan dengan Allah SWT jangan kita abaikan dan pandang enteng. Enta cuba bayangkan, kita promosi perniagaan kita, buat ‘marketing’, tetapi cuba enta fikir, apakah semata-mata kerana cara ‘marketing’ kita, orang terbuka hati datang nak beli barang kita? Siapa sebenarnya pemilik hati manusia sebenarnya, Hilal?”

Perbualan itu sangat membuka mata saya. Bukanlah mesejnya jangan buat marketing(usaha), dan semata-mata hanya berdoa kepada Allah SWT. Tetapi mesejnya ialah, berusaha, buat yang terbaik, tetapi pada masa yang sama, hubungan dengan Allah SWT juga perlu terbaik. Kerana akhirnya, Allah SWT pemilik segala-galanya.

Dia pemilik hati manusia, Dia pemilik rezeki, Dia pemilik kekayaan, Dia pemilik kemenangan, dan pada masa yang sama Dia juga pemilik ujian, Dia berupaya menjadikan orang miskin dan sakit serta sebagainya. Dia Maha Berkuasa. Maka kepadaNya kita meminta diberikan rezeki, dipermudahkan urusan, diberikan kejayaan, dihadiahkan penyelesaian daripada kemelut, dijauhkan dari kemiskinan dan dijauhi dari bala bencana.

Kerdilkan diri. Minta kepadaNya!

 

Hanya Orang-Orang Yang Tidak Beriman Akan Angkuh Dan Sombong.

Allah SWT dengan penuh kasih menyeru kepada manusia, agar meminta kepadaNya. Mintalah kepadaKu, nescaya akan Aku makbulkan. Allah SWT sendiri memanggil! Betapa besarnya kemuliaan berdoa, hingga Allah SWT menawarkannya.

Pada ayat yang lain, bertemakan doa juga, Allah SWT hingga menjawab bahawa Dia dekat, dan menjawab permintaan hamba-hambaNya.

Firman Allah SWT:

“Dan apabila hamba-hambaKu bertanya kepadamu mengenai Aku, maka sesungguhnya Aku (Allah) sentiasa hampir (kepada mereka). Aku perkenankan permohonan orang yang berdoa apabila ia berdoa kepadaKu. Maka hendaklah mereka menyahut seruanku (dengan mematuhi perintahKu), dan hendaklah mereka beriman kepadaKu supaya mereka menjadi baik serta betul.”Surah Al-Baqarah ayat 186.

Hanya orang-orang yang tidak beriman kepada Allah SWT, yang tidak mahu mengakui kekuasaan Allah SWT, tidak mahu menjadi saksi bahawa seluruh alam semesta ini adalah milik Allah SWT, mereka sahajalah yang tidak akan selesa untuk bersimpuh, mengkerdilkan diri meminta kepada Allah SWT.

Ego dan bongkak dengan merasakan bahawa melalui usaha mereka, atau melalui usaha mereka dan sekumpulan manusia, mereka tetap akan mampu berjaya.

Ya, mungkin mereka berjaya. Tetapi limit kejayaan mereka sekadar terbatas di atas muka bumi. Kadang ada di kalangan manusia ini, Allah SWT uji pula dengan istidraj, yakni Allah tetap memberikan mereka nikmat di dunia ini walaupun mereka ingkar, untuk membuatkan mereka lebih jauh daripada Allah SWT. Kerana apabila mereka langsung tidak punya sekelumit berkenan kepada rahmat Allah SWT, maka Allah pun tidak berkenan terhadap mereka. Lantas kejayaan mereka menambah lagi ego dan sombong mereka, hingga tertutup jiwa mereka dari melihat kebenaran. Bagaimana di akhirat kelak? Apakah manusia boleh ‘berusaha’ lagi untuk mendapatkan apa-apa di sana?

Allah SWT berfirman:

Sesungguhnya orang-orang yang sombong takbur daripada beribadat dan berdoa kepadaKu, akan masuk neraka Jahannam dalam keadaan hina.” Surah Ghafir ayat 60.

Na’uzubillah, moga kita dijauhkan daripada keadaan tersebut.

Berdoa, meyakini doa akan dimakbulkan, bersangka baik terhadap keputusan yang Allah SWT beri(sama ada tercapai atau tidak tercapai apa yang kita hajati), hakikatnya memerlukan keimanan. Dan orang-orang yang tidak beriman, tidak mampu untuk melalui proses pembentukan hati ini. Mereka rasa rimas, dan tidak mampu untuk yakin. Yang berjaya, mungkin senang hatinya, tetapi bagaimana mereka yang gagal mencapai apa yang dihajati? Tidak sedikit kita mendengar orang yang menjadi gila, yang membunuh diri. Namun apakah orang yang benar-benar beriman kepada Allah, yang mengiringi usahanya dengan doa dan tawakkal, yang mempersiapkan dirinya dengan sangka baik terhadap kebijaksanaan Allah SWT dalam menentukan sesuatu, akan bersikap sedemikian?

Saya yakin tidak.

 

Penutup: Berdoalah.

Maka berdoalah. Usaha, iringinya dengan tawakkal.

Alhamdulillah Tuhan kita ialah Allah SWT. Yang tidak memerlukan birokrasi. Bila kita resah, kita tidak perlu berjalan jauh pergi ke tempat-tempat tertentu untuk ‘berkomunikasi’ dengan Allah SWT. Tiada hari-hari tertentu yang kita tidak boleh berdoa. Tiada orang tengah, yang perlu menjadi penyambung doa kita kepada Allah SWT. Tiada bayaran yang perlu dibuat untuk berdoa. Tidak memerlukan bahasa tertentu untuk berdoa.

Mudahnya berdoa. Kasihnya Allah SWT kepada kita. Jelas terpancar cinta dan sayangnya Dia kepada kita.

Apakah kita menghargai? Apakah kita berdoa?

Ya Allah, jadikanlah kami ini hambaMu yang bersyukur. Ya Allah kami tahu kami lemah, banyak dosa dan banyak kekurangan, namun ampunkanlah kami dan selamatkanlah kami. Bantulah kami Ya Allah, dalam berusaha menjadi hambaMu yang soleh. Bantulah kami ya Allah untuk menjadi sebahagian dari golongan yang Engkau hadiahkan mereka syurga. Jadikanlah kami ini ya Allah orang-orang yang istiqomah, berterusan mencari redha dan cintaMu. Kasihanilah kami ya Allah, bantulah kami dalam memperbaiki diri kami. Rahmatilah kami ya Allah, sesungguhnya kami ini kerdil, hina dina, penuh kekurangan. Bantulah kami ya Allah, bantulah kami ya Allah. Maha Suci Engkau, sesungguhnya kami ini telah menzalimi diri kami, dan ingin keluar daripadanya.

Rakan-rakan pembaca, katakanlah “Amiin.”

Semoga Allah SWT merahmati kita semua, dan mempermudahkan urusan kita.

Muhasabah.

(Sumber: LangitIlahi.com, oleh Hilal Asyraf)

Apa Komen dan Pendapat Anda

Artikel Berkaitan