Sayang Sabah Facebook

Likes
Sayang Sabah Twitter

11,761

Followers

Sayang Sabah - Portal Berita Negeri Kita

‘Serangan keganasan’

10:36am 06/12/2015 Pak Roshan 0 views Global
KEADAAN lokasi kejadian pembunuhan beramai-ramai di California, Khamis lalu.

KEADAAN lokasi kejadian pembunuhan beramai-ramai di California, Khamis lalu.

San Bernardino (Amerika Syarikat): Biro Siasatan Persekutuan (FBI) semalam berkata, ia menyiasat kejadian pembunuhan beramai-ramai di California Khamis lalu sebagai perbuatan keganasan selepas laporan menunjukkan penyerang wanita dalam kejadian itu berikrar taat setia kepada kumpulan Negara Islam (IS) menerusi Facebook.

Pengarah FBI James Comey memberitahu wartawan, siasatan dilakukan setakat ini menunjukkan pasangan suami itu terpengaruh dengan pertubuhan pengganas asing.

Bagaimanapun, menurutnya, belum ada bukti menunjukkan Syed Farook, 28, dan isteri Tashfeen Malik, 29, ada hubungan dengan rangkaian pengganas.

Perkembangan itu diumumkan dua hari selepas pasangan itu membunuh 14 orang dan mencederakan 21 yang lain dalam serangan yang menyasarkan satu majlis akhir tahun anjuran sebuah pejabat di San Bernardino, pembunuhan beramai-ramai paling buruk di Amerika Syarikat sejak kejadian di sebuah sekolah di Newtown pada 2012.

Syed yang dilahirkan di Amerika Syarikat dan Tashfeen mati dalam kejadian tembak-menembak dengan polis beberapa jam selepas serangan itu.

Penolong Pengarah FBI di Los Angeles David Bowdich berkata, pihaknya membongkar bukti menunjukkan pasangan itu merancang melancarkan serangan besar-besaran.

“Ini mendorong kami menyiasat kes itu sebagai serangan keganasan,” katanya.

Dia juga memberitahu, penyiasat mula menyelidik kenyataan yang dimuat naik Tashfeen di Facebook yang menunjukkan dia berikrar taat setia kepada pemimpin IS Abu Bakr al-Baghdadi Rabu lalu, sejurus sebelum melakukan serangan.

Sebuah portal berita pro-IS, Aamaq, semalam melaporkan, serangan itu dilakukan kumpulan radikal yang bersimpati dengan IS.

Anggota keluarga pasangan berkenaan berkata, mereka terkejut dengan tindakan suami isteri itu.

“Saya tidak pernah terbayang abang dan kakak ipar saya melakukan serangan seumpama ini. Mereka warak dan patuh pada ajaran agama. Mereka juga pemalu,” kata adik Syed, Saira Khan.- AP/HMetr0

Apa Komen dan Pendapat Anda

Artikel Berkaitan