Sayang Sabah Facebook

Likes
Sayang Sabah Twitter

11,794

Followers

Sayang Sabah - Portal Berita Negeri Kita

Seramai 1,079 Graduan Politeknik Kota Kinabalu Bakal Terima Sijil, Diploma Selasa Depan

4:44pm 02/08/2016 Pak Roshan 54 views Kota Kinabalu,Mutakhir,Tempatan

politeknik

KOTA KINABALU : Seramai 1,079 graduan Politeknik Kota Kinabalu bakal menerima sijil dan diploma masing-masing dalam pelbagai program pada majlis konvokesyen ke-20 yang akan berlangsung selama dua hari bermula Selasa depan.

Pengarah Politeknik Kota Kinabalu, Roslee Yahya berkata daripada jumlah itu 1,065 graduan bakal menerima diploma, manakala selebihnya iaitu 14 graduan adalah penerima sijil daripada bidang kejuruteraan awam, kejuruteraan elektrikal, kejuruteraan mekanikal, perdagangan serta hospitaliti dan pelancongan.

“Istiadat Konvokesyen ke-20 itu akan berlangsung di Dewan Rafflesia, Politeknik Kota Kinabalu dan akan dilaksanakan dalam empat sidang,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata Yang Dipertua Negeri Sabah, Tun Juhar Mahiruddin dan isteri Toh Puan Norlidah R.M Jasni berkenan hadir untuk menyampaikan diploma dan sijil kepada graduan pada Istiadat Konvokesyen tersebut.

“Empat anugerah bagi graduan cemerlang akan turut disampaikan pada sidang pertama, iaitu Anugerah Kecemerlangan Akademik dan Kokurikulum Jabatan, Anugerah Pengarah Politeknik Kota Kinabalu, Anugerah Graduan Cemerlang Industri serta Anugerah Rakan Industri.

“Anugerah-anugerah ini memberi pengiktirafan kepada para pelajar atas kecemerlangan dalam bidang akademik dan kokurikulum yang berjaya mengharumkan nama institusi ini dan negeri Sabah di peringkat kebangsaan dan antarabangsa,” katanya.

Sehubungan itu, Roslee meminta agar semua calon graduan dapat mengesahkan kehadiran masing-masing melalui pendaftaran dalam talian di http://spmp.polikk.edu.my/konvo/konvo_login.jsp, sebelum 8 Ogos ini.

Sementara itu, beliau berkata pihaknya turut menganjurkan ‘Hari Politeknik Kota Kinabalu 2016’ sepanjang minggu konvokesyen berkenaan yang menyediakan pelbagai aktiviti menarik untuk para pengunjung bermula 5 hingga 10 Ogos ini.

Antara aktiviti menarik yang bakal berlangsung ialah gerai konvokesyen, pertunjukan robotik, kempen kesihatan, aktiviti zumba, pertandingan karaoke, permainan lasak seperti paintball, aktiviti menunggang kuda, explorace dan banyak lagi.

— BERNAMA

Apa Komen dan Pendapat Anda

Artikel Berkaitan