Kota Kinabalu
Kota Kinabalu
Sandakan
Tawau
Lahad Datu
Keningau
Putatan
Semporna
Kudat
Papar
Ranau
Beaufort
Kota Belud

Sayang Sabah - Berita Negeri Kita

Seramai 10,000 Anak TKI Tiada Akses Pendidikan Di Sabah

SANDAKAN :  Dianggarkan 10,000 anak Tenaga Kerja Indonesia (TKI) di negeri ini belum mendapat akses pendidikan, kata Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah Datuk Masidi Manjun.

Beliau berkata genap 10 tahun kerajaan Malaysia dan Indonesia bersetuju memberi peluang pendidikan menerusi Pusat Pembelajaran Komuniti (PPK) kepada anak-anak TKI di negara ini, masih begitu ramai lagi yang belum mendapat pendidikan awal.

Justeru, beliau menyokong penuh agar satu perbincangan khusus antara kedua-dua pemimpin Malaysia dan Indonesia diadakan bagi memastikan semua anak-anak TKI mendapat pendidikan awal.

“Dengan adanya PPK, anak TKI yang tidak berpeluang mengikuti pendidikan formal di sekolah kerajaan berpeluang mendapat pendidikan,” katanya pada majlis program Lokakarya 10 Tahun Layanan Pendidikan anak-anak TKI di Sabah di sini hari ini.

Teks ucapan beliau dibacakan oleh Pembantu Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Datuk Kamarlin Ombi.

Masidi selaku menteri bertanggungjawab dalam hal itu di negeri ini berkata kedua-dua pihak kerajaan Malaysia dan Indonesia amat menitikberatkan soal pendidikan dalam kalangan kanak-kanak.

Beliau menghargai majikan yang menunaikan tanggungjawab sosial dengan memberi peluang pendidikan kepada anak-anak pekerja.

Masidi berharap agar peluang pendidikan alternatif seumpama ini dapat membendung anak-anak TKI daripada terlibat dengan gejala sosial dan jenayah selain memiliki kemahiran 3M iaitu menulis, mengira dan membaca.

Konsul Jeneral RI Kota Kinabalu Akhmad Daya Handasyah berkata sehingga kini, terdapat 227 PPK dengan seramai 13,000 anak TKI di negeri ini telah mendapat pendidikan di pusat itu.

— BERNAMA

Komen


Berita Berkaitan