Kota Kinabalu
Kota Kinabalu
Sandakan
Tawau
Lahad Datu
Keningau
Putatan
Semporna
Kudat
Papar
Ranau
Beaufort
Kota Belud

Sayang Sabah - Berita Negeri Kita

SEPULUH OKU TAWAN GUNUNG KINABALU

oku

KOTA KINABALU, 12 Jan  : Kekurangan diri yang dimiliki 10 orang kurang upaya (OKU) tidak menghalang mereka untuk menawan Gunung Kinabalu baru-baru ini.

Pengarah Jabatan Belia dan Sukan (Persekutuan) Sabah, Datuk Mohd Dahali Matsin berkata 10 daripada 13 peserta Program Cabaran Mendaki Gunung Kinabalu OKU peringkat kebangsaan itu, berjaya mendaki hingga ke puncak gunung tertinggi di Malaysia itu.

“Seorang daripada mereka merupakan OKU cacat penglihatan dan kejayaan beliau ituadalah atas kecekalan mental yang ada pada dirinya,” katanya kepada pemberita selepas majlis penyampaian sijil program itu kepada para peserta.

Program itu diadakan pada 8 hingga 12 Jan dan sijil disampaikan oleh Menteri Belia dan Sukan Sabah, Datuk Tawfiq Abu Bakar Titingan di sini hari ini.

“Saya teraba-raba sepanjang pendakian, tetapi saya dapat menyentuh batu-bata, merasai rumput, air yang mengalir di kaki serta udara yang sejuk dan mendamaikan di puncak gunung,” kata Retchiewana Tabisun, 23, dari Sandakan.

Mohd Shamree Diasin, 34, yang kudung tangan kanan pula berkata beliau menjalani latihan selama sebulan bagi memantapkan fizikal dan mental sebelum mengikuti program pendakian itu.

“Tumpuan tinggi dan usaha gigih selama ini berbaloi meskipun ketika mendaki terdapat halangan dan cabaran yang ditempuhi,” katanya.

Sementara itu, Tawfiq berkata beliau kagum dengan kejayaan para peserta yang tidak menjadikan kekurangan upaya sebagai alasan untuk tidak menyahut cabaran seperti itu.

“Kalau OKU komited untuk berjaya, mengapa kita yang cukup anggota tidak berusaha mencapai impian kita? Semangat mereka inilah yang perlu dicontohi,” katanya.

Pada majlis itu juga, Jabatan Belia dan Sukan Negeri dan Persekutuan Sabah menyerahkan bantuan banjir kepada Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) untuk diagihkan kepada mangsa banjir di Semenanjung.– BERNAMA

Komen


Berita Berkaitan