Sayang Sabah Facebook

Likes
Sayang Sabah Twitter

11,818

Followers

Sayang Sabah - Portal Berita Negeri Kita

Seniwati Neng Yatimah Meninggal Dunia Di Singapura

1:25pm 19/03/2016 Pak Roshan 656 views Mutakhir,Nasional

neng-yatimah

SINGAPURA – Seniwati veteran terkenal zaman filem Studio Jalan Ampas Singapura iaitu Neng Yatimah, atau nama sebenarnya ialah Buntat Ahmad, dilaporkan meninggal dunia pada pagi Sabtu (19 Mac 2016).

Berita sedih ini disahkan sendiri kepada agensi tempatan Mediacorp. Singapura oleh seorang penulis blog republik tersebut yang dikatakan memang agak rapat dengan ramai artis Melayu tanah air, Ukhti Aminah.

Menurut beliau, Neng Yatimah selamat pulang ke Rahmatullah pada pukul 10.30 pagi dan jenazah aktres ini kemudian dibawa ke tanah perkuburan Islam di Pusara Abadi di Jalan Lim Chu Kang sebelum dikebumikan.

Allahyarhamha dilahirkan pada 1924 di Singapura, mula aktif dalam lakonan ketika usia 19 tahun dan merupakan pelakon wanita hebat filem Melayu era 1950-an hingga 1960-an yang terkenal menerusi banyak filem klasik.

Antaranya ialah Takdir Ilahi, Air Mata Duyung, Jiran Sekampung, Laila Majnun, Lela Satria, Batu Belah Batu Bertangkup, Seri Mersing, Racun Dunia, Patah Hati, dan filem terakhirnya, Mama Oh Mama pada 1981.

neng yatimah1

Neng Yatimah bergambar dengan suaminya, Jasni Ahmad yang dinikahinya pada usia 14 tahun. – Gambar Arkib

Beliau pernah menerima Anugerah Pelakon Veteran dalam Festival Filem Malaysia ke-13 pada 1997 dan juga merupakan ahli Persatuan Seniman yang menggunakan nama Buntat Binte Ahmad bernombor keahlian 1935.

Neng Yatimah yang memulakan kerjaya dalam bidang seni pada 1949, sebelum ini dilaporkan semakin uzur serta mengalami masalah jantung dan barah kolon. Allahyarhamha dilaporkan dijaga cucu saudaranya di Singapura.

Anak perempuan tunggal Allahyarhamha ialah seniwati Roseyatimah dengan menantunya itu pula merupakan seniman terkenal, Datuk Mustapha Maarof. Semoga Allah SWT mencucuri rahmat-Nya ke atas roh beliau.

Inna lillah wa inna ilahi rojiun. – Agensi/Mynewshub.cc/HAA

Apa Komen dan Pendapat Anda

Artikel Berkaitan