Sayang Sabah Facebook

Likes
Sayang Sabah Twitter

11,650

Followers

Sayang Sabah - Portal Berita Negeri Kita

Seniwati Isteri ‘Pendekar Mustar’ Filem Bujang Lapok Meninggal

7:15pm 11/12/2015 Pak Roshan 84 views Mutakhir,Nasional

momo

SINGAPURA – Jenazah seniwati terkenal, Marfuah Bte Makarim yang lebih dikenali sebagai Momo Latiff selamat dikebumikan di kawasan Pusara Abadi, You Chu Kang selepas Solat Jumaat di Masjid Ahmad Ibrahim di sini.

Allahyarhamah meninggal dunia pada usia 93 tahun di rumah anaknya di Woodlands, pada pukul 5.50 petang Khamis di sisi 10 anak dan cucunya selepas baharu dibawa pulang dari Hospital Khoo Teck Puat di Yishun Central.

Salah seorang anak allahyarhamah, Kamaliah Latiff, memberitahu bahawa penyanyi dan pelakon veteran era kegemilangan filem studio Jalan Ampas itu meninggal dunia setelah mengalami koma akibat darah tinggi.

Kamaliah, anak kelima daripada 12 anak Momo Latiff, juga mengikut perjuangan arwah ibunya sebagai seorang anak seni tempatan; yang pernah popular dengan menjadi penyanyi pada dekad 1970-an dan 1980-an dahulu.

“Dia mula berada dalam keadaan koma kerana darah tinggi terlalu tinggi menyebabkan urat besar di bahagian otak pecah. Semua berlaku terlalu pantas selepas solat Maghrib pada Rabu, dia tidak dapat mengimbangi diri.

“Ibu jatuh timpa saya masa cuba berdiri, mujur saya sempat peluk dia,” cerita Kamaliah sebak tentang saat-saat akhir legenda bangsawan itu, namun bersyukur kesemua anak dan cucu hadir ketika allahyarhamah meninggal.

Allahyarhamah yang dilahirkan pada tahun 1923, merupakan seorang penyanyi dan pelakon filem Melayu era dekad 1930-an hingga 1970-an yang sering mendendangkan lagu-lagu di stesen radio Malaysia dan Singapura.

Antara filem lakonannya termasuk Topeng Shaitan, Musang Berjanggut dan paling diingati Pendekar Bujang Lapok apabila beliau memainkan watak sebagai isteri kepada Pendekar Mustar di kampung Pinang Sebatang.

Allahyarhamah turut dikenali melalui lagu-lagu malar segar dendangannya sepertiBengawan Solo, Gemala Hati dan Merpati Dua Sejoli, yang juga merupakan antara lagu duetnya bersama-sama Allahyarham Tan Sri P. Ramlee.

Beliau mula berjinak dalam bidang seni sejak usia tujuh tahun, sebagai penghibur cilik dalam opera bangsawan awal 1930-an sehingga mendapat gelaran ‘Momo’ daripada seorang pemilik sarkis Rusia bernama Frank Isako.

Lelaki itu dikatakan begitu kagum dengan kebolehannya berlawak jenaka dan bernyanyi, demikian menurut catatan sejarah daripada buku MUSIKA, Arena Muzik Silam di Malaya (1900-1965), tulisan oleh Azlan Said.

Bakat Momo Latiff yang begitu menyerlah turut berjaya menambat hati pelbagai pihak terutama penonton dan mengangkat namanya dalam persada seni pada waktu itu sehingga keluarganya terpaksa berpindah ke Singapura.

Julie Sudiro (kiri) antara artis yang sempat menziarahi allahyarhamah Momo Latiff kira-kira dua minggu lalu. – Gambar Channel NewsAsia

Ini kerana beliau menerima tawaran daripada syarikat filem Shaw Brothers untuk berlakon sebagai heroin dalam filem Topeng Shaitan, sebelum menemui cinta hatinya dengan seorang pelakon bangsawan bernama Latiff.

Raden Sudiro, bapa kepada artis veteran Julie Sudiro, merupakan orang pertama yang memberi khabar gembira kepada Momo Latiff, bahawa pihak Shaw Brothers menawarkannya peranan dalam filem pada tahun 1939.

Kamaliah dengan nada yang sebak memaklumkan bahawa ibunya adalah seorang yang suka merendah diri dan beliau malah berharap ciri-ciri tersebut dapat diterapkan dalam diri anak-anak, cucu-cucu dan cicit-cicitnya.

“Mak memang seorang manusia yang amat tabah, dia sedia menerima apa juga keadaan pun dengan seadanya, arwah selalu bersyukur walaupun hanya hidup secara serba sederhana,” tambahnya dalam nada yang sayu.

Antara rakan artis yang sudah pun datang menziarahi jenazah Mak Momo termasuklah penyanyi Sanisah Huri, Mahani Mohamad, M Wari, Rahimah Rahim dan pelakon Jalan Ampas, Zaiton. – Agensi/Myewshub.cc/HAA

Apa Komen dan Pendapat Anda

Artikel Berkaitan