Kota Kinabalu
Kota Kinabalu
Sandakan
Tawau
Lahad Datu
Keningau
Putatan
Semporna
Kudat
Papar
Ranau
Beaufort
Kota Belud

Sayang Sabah - Berita Negeri Kita

Senarai 42 kumpulan etnik ganti ‘Lain-Lain’ diserah 18 Februari ini

Masidi bersalaman dengan salah seorang peserta bengkel. - foto Monica Gidong
Masidi bersalaman dengan salah seorang peserta bengkel – foto Ille Tugimin

KOTA KINABALU – Senarai 42 kumpulan etnik dan lebih 200 sub etnik di Sabah akan diserahkan untuk disahkan oleh kerajaan negeri pada 18 Februari ini sebelum dikemukakan kepada kerajaan Persekutuan atau Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) untuk diwartakan.

Menteri Pelancongan Kebudayaan dan Alam Sekitar negeri, Datuk Masidi Manjun berkata, senarai etnik/ sub etnik itu menjadi asas penting dan rujukan kepada jabatan-jabatan berkenaan bagi menggantikan kategori suku kaum “Lain- Lain” dalam borang-borang rasmi kerajaan.

“Kita cadangkan dalam mesyuarat Kabinet, hanya ada satu ruangan bagi suku kaum dalam borang rasmi untuk menyatakan kaum masing-masing, menggantikan perkataan atau kategori suku kaum “Lain-Lain”. Dengan ini, soal tidak kenal suku kaum kita, tidak lagi timbul.
“Sebelum ini kategori suku kaum “Lain-Lain” ditulis dalam semua borang rasmi kerajaan kerana kita tidak pernah menghantar senarai penuh kaum dan suku kaum yang telah diperakukan untuk rujukan JPN  dan jabatan-jabatan berkenaan,” katanya ketika ditemui pemberita selepas majlis penutupan Bengkel Pemurnian Klasifikasi dan Senarai Etnik & Sub Etnik Negeri Sabah, di Ming Garden, di sini hari ini.

Masidi berkata, melalui bengkel yang serupa pada September 2014, beliau mengarahkan Lembaga Kebudayaan Negeri Sabah (LKNS) untuk memurnikan senarai etnik/ sub etnik yang telah digunapakai sejak sekian lama.

“Senarai itu terhasil berdasarkan kajian yang boleh dipercayai iaitu Kajian Etnik Negeri Sabah pada tahun 2007. Ia dibuat oleh LKNS, Jabatan Muzium Sabah, Pejabat Hal Ehwal Anak Negeri Sabah, Universiti Malaysia Sabah dan Pejabat Peguam Negeri Sabah.

“Senarai tersebut juga telah dibentangkan semasa Bengkel Klasifikasi dan Identiti Penduduk Negeri Sabah pada September 2014 untuk mendapatkan maklumbalas dan input daripada semua peserta bengkel,” ujarnya sambil menambah walaupun rangka kerja mengenai kaum dan suku kaum di negeri ini akan diserahkan kepada Kabinet negeri, namun ia tidak bermakna proses perbincangan mengenai perkara ini terhenti.

Jelas Masidi lagi, kerajaan negeri mahu meneruskan perbincangan untuk memperhalusi dan menilai semula dapatan daripada resolusi ini dan memastikan tiada satu pun kaum atau suku kaum di Sabah tercicir. – oleh Monica Gidong / SayangSabah

Komen


Berita Berkaitan