Sayang Sabah Facebook

Likes
Sayang Sabah Twitter

11,751

Followers

Sayang Sabah - Portal Berita Negeri Kita

Semua Taman Negara Diwarta Kawasan Bebas Rokok

7:16pm 27/08/2016 Pak Roshan 53 views Mutakhir,Nasional

merokok

BALIK PULAU – Kementerian Kesihatan akan mewartakan semua taman negara sebagai kawasan bebas rokok menjelang akhir tahun ini.

Timbalan Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Hilmi Yahaya berkata sehingga kini 22 kawasan telah diwartakan sebagai kawasan bebas rokok termasuk tempat ibadah, kawasan rehat & rawat di lebuh raya dan kawasan pendidikan seperti universiti.

Kawasan bebas rokok itu bukan hanya membabitkan rokok tetapi bahan lain yang mengandungi nikotin seperti E-rokok, vape dan shisha.

Jika seseorang didapati merokok, mereka boleh didenda minimum RM250 dan maksimum RM5,000 mengikut Akta Kawalan Tembakau 2004 atau diheret ke mahkamah jika enggan membayar denda itu.

“Kami harap dengan inisiatif ini, jumlah perokok dapat dikurangkan secara drastik kerana merokok hanya mendatangkan keburukan,” katanya kepada pemberia selepas melancarkan Hari Tanpa Tembakau di Taman Negara Teluk Bahang, di sini hari ini.

Ketika ini terdapat 5 juta perokok aktif di Malaysia dari umur 15 tahun ke atas, iaitu 43 peratus daripada jumlah penduduk kumpulan umur itu dan kementerian menyasarkan dapat mengurangkannya kepada 30 peratus menjelang 2025.

Kementerian Kesihatan juga telah melancarkan program untuk mendidik kanak-kanak yang dilahirkan dari 2009 ke atas sebagai generasi bebas rokok.

“Merokok dianggap isu yang serius dan kementerian bukan hanya mewarta dan mengadakan program anti-rokok tetapi juga terus membimbing perokok yang mahu menghentikan tabiat buruk itu menerusi program yang diperkenalkan pada 2000,” katanya.

Walaupun kadar kejayaan program henti merokok di seluruh negara hanya 18 peratus, kementerian akan meneruskannya dengan harapan golongan itu mempunyai azam tinggi untuk berhenti.

“Di bawah kementerian juga, semua negeri mengadakan projek perintis yang dinamakan ‘Pusat Sehenti Bagi Ketagihan’ bagi membantu mereka yang mahu menghentikan sebarang ketagihan termasuk dadah.

Penolong Pengarah Kanan Bagi Kawalan Penyakit Tidak Berjangkit negeri, Dr Azizah Abd Manan berkata di Pulau Pinang, projek itu dilaksanakan di Butterworth dan setakat ini sambutan daripada orang ramai begitu menggalakkan.

“Kami akan mengumpulkan semua maklumat yang diperoleh dan saya berharap projek itu akan diteruskan selepas tamat fasa perintisnya,” katanya. – BERNAMA

Apa Komen dan Pendapat Anda

Artikel Berkaitan