Kota Kinabalu
Kota Kinabalu
Sandakan
Tawau
Lahad Datu
Keningau
Putatan
Semporna
Kudat
Papar
Ranau
Beaufort
Kota Belud

Sayang Sabah - Berita Negeri Kita

SEMUA HARUS SOKONG PENGEMBALIAN STATUS SABAH DAN SARAWAK SEBAGAI RAKAN SEKUTU

KOTA KINABALU: Kesediaan Kerajaan Pakatan Harapan mengembalikan status Sabah dan Sarawak sebagai rakan sekutu dalam Persekutuan Malaysia menerima sokongan dari kedua belah pihak di sini.

Ketua Menteri Datuk Seri Mohd Shafie Apdal berkata, beliau telah bertemu dengan beberapa menteri persekutuan hari ini dan segala perbincangan mejurus kepada ucapan Perdana Menteri pada sambutan Hari Malaysia 2018 iaitu pemberian semula status rakan sekutu dalam persekutuan Malaysia dan pengkajian semula Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).

Tambahnya, “perkara berkenaan sudah sampai masanya bahawa bukan hanya kita perlu melihat apa yang telah dimeterai dalam MA63 tetapi dapat melaksanakan dan merialisasikannya seperti kuasa yang diturunkan kepada kerajaan negeri.”

Datuk Seri Mohd Shafie Apdal. Gambar Fail SNT

Timbalan Ketua Menteri, Datuk Seri Wilfred Madius Tangau pula menyeru semua ahli parlimen agar melupakan perbezaan dan anutan politik masing-masing demi menyokong usaha pengembalian status Sabah dan Sarawak sepertimana terkandung dalam MA63.

Datuk Seri Wilfred Madius Tangau. Gambar Fail SNT

Sokongan padu perlu memandangkan kerajaan Pakatan Harapan tidak mempunyai majoriti dua pertiga di Parlimen untuk meminda Perkara 1(2) Perlembagaan Persekutuan balik kepada asal, kata Tangau yang juga Ahli Parlimen Tuaran.

Katanya, Perkara 1(2) telah dipinda pada tahun 1976 yang menurunkan taraf Sabah dan Sarawak masing-masing menjadi negeri ke-12 dan ke-13 dalam Persekutuan Malaysia.

Manakala, Ahli Parlimen Kimanis, Datuk Seri Anifah Aman sedia menyokong sekiranya cadangan tersebut dibentangkan di Dewan Rakyat.

Datuk Seri Anifah Aman. Gambar Fail SNT

“Saya menyambut baik kenyataan Tun Dr Mahathir. Sebagai seorang rakyat Sabah dan juga Ahli Parlimen P.176 Kimanis, saya berasa teruja dan bersedia untuk memberi sokongan penuh.

“Saya juga akan meminta ahli-ahli parlimen yang lain untuk memberi sokongan mereka kerana ini adalah apa yang kita perjuangkan selama ini di Sabah dan Sarawak,” katanya.

Bekas Menteri Luar itu percaya rakan-rakan pembangkang beliau dari Sabah dan Sarawak turut bersedia memberi sokongan selagi ianya adalah bersandarkan kepada MA63 dan untuk kebaikan rakyat.

Datuk Seri Dr Maximus Ongkili. Gambar Fail SNT

Timbalan Presiden Parti Bersatu Sabah (PBS) Datuk Dr Maximus Ongkili berkata PBS turut menyambut baik kenyataan Mahathir semalam, namun berharap ianya bukanlah hanya “manis di mulut” sahaja.

“Baguslah, beliau (Mahathir) sudah sedar dan kini mengakui taraf Sabah dan Sarawak dalam Persekutuan Malaysia sepertimana telah dijanjikan oleh Tunku Abdul Rahman dan termaktub dalam MA63,” katanya.

Datuk Liew Vui Keong. Gambar Fail SNT

“Kita berharap ini bukan hanya untuk menyenangkan hati rakyat kerana semasa kali pertama beliau menjadi Perdana Menteri selama 22 tahun hal ini, sengaja tidak dipandang pun,” kata Dr Maximus.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Liew Vui Keong menyifatkan perkembangan ini sebagai harapan baru, begitupun beliau mengingatkan banyak lagi kerja harus dibuat demi merelialisasikan cadangan tersebut.

Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman. Gambar SNT/Mohd Adam Arinin

Liew, sebelum ini, telah diberi tanggungjawab mengetuai jawatankuasa khas kabinet untuk mengkaji MA63.

Bagi pemimpin muda dan baru dari Semenanjung Malaysia, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman berpendapat, Sabah dan Sarawak berhak mendapatkan semula status sebagai rakan sekutu dalam persekutuan Malaysia.

Menteri Belia dan Sukan itu berkata, ia bagi memastikan pembangunan di kedua-dua negeri berkenaan tidak ketinggalan berbanding di Semenanjung Malaysia.

“Mereka berhak mendapatkannya bukan sebab Sabah satu wilayah tetapi kerajaan mahu pembangunan di Malaysia ini adil. Isu keadilan untuk kedua-dua negeri yang mana jika kita lihat sumber minyak negara datang dari negeri ini tetapi pada masa yang sama tidak mendapat peruntukan yang secukupnya.

“Bagi pihak saya juga, saya akan cuba sebaik mungkin untuk bangkitkan isu ini ke jemaah menteri dan berbincang bersama Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad,” katanya.-SabahNewsToday

 

 

 

Komen


Berita Berkaitan