Sayang Sabah Facebook

Likes
Sayang Sabah Twitter

11,662

Followers

Sayang Sabah - Portal Berita Negeri Kita

Semua 20 Universiti Awam Setuju Larang Hisap Vape Di Universiti

11:42am 22/11/2015 Pak Roshan 26 views Mutakhir,Nasional
gambar hiasan

gambar hiasan

KANGAR : Semua 20 universiti awam (UA) bersetuju agar penggunaan vape atau rokok elektronik dan rokok diharamkan di kampus masing-masing, kata Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Idris Jusoh.

Beliau berkata keputusan itu dicapai bersama oleh Naib-naib Canselor di 20 UA berkenaan yang bermesyuarat Jumaat lepas.

“Walaupun sebelum ini ada naib canselor yang mengumumkan pengharaman menghisap vape dan rokok dalam kawasan universiti, saya menyifatkan keputusan bersama ini adalah tepat kerana universiti adalah zon hijau.

“Dahulu, hanya rokok yang diharamkan dihisap (di universiti), sekarang kita perluaskan kepada vape atau rokok elektronik,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan Kejohanan Sukan Institusi Pendidikan Malaysia (SIPMA) ke-6 di Dewan 2020 di sini Sabtu malam.

Beliau berkata universiti diberi kuasa autonomi dan berhak menentukan hukuman atau tindakan terhadap mereka yang melanggar peraturan tersebut dan kerajaan tidak akan campur tangan.

Mengenai sukan dalam kalangan pelajar universiti, Idris berkata kerajaan menyediakan banyak insentif dan kemudahan selain pengecualian tertentu kepada atlet yang aktif untuk menggalakkan mereka mencapai kejayaan cemerlang dalam bidang sukan.

Malah, katanya, lebih separuh pingat yang diperoleh kontinjen negara dalam Sukan SEA disumbangkan oleh atlet dari kalangan pelajar terutamanya pelajar universiti.

“Kerajaan memang mengiktiraf kejayaan pelajar dalam bidang sukan. Ini dapat dilihat melalui banyak insentif dan penganugerahan disediakan untuk mereka agar lebih produktif,” katanya.

SIPMA yang bermula semalam sehingga 28 Nov ini disertai tujuh kontinjen mewakili Majlis Sukan (MS) Sekolah-Sekolah Malaysia, MS Universiti-Universiti Malaysia, MS Politeknik, MS Matrikulasi, MS IPTS, MS Kolej Komuniti (MASKOM) dan MS Institut Pendidikan Guru.

Kejohanan dwi tahunan itu dikelolakan oleh MASKOM, membabitkan 994 atlet yang bertanding dalam tujuh acara iaitu renang, olahraga, badminton, tenpin boling, bola sepak, skuasy dan hoki.

— BERNAMA

Apa Komen dan Pendapat Anda

Artikel Berkaitan