Kota Kinabalu
Kota Kinabalu
Sandakan
Tawau
Lahad Datu
Keningau
Putatan
Semporna
Kudat
Papar
Ranau
Beaufort
Kota Belud

Sayang Sabah - Berita Negeri Kita

Seminar Semarak Perpaduan Bermanfaat Kepada Pemimpin Masyarakat

LABUAN -“Seminar Semarak Perpaduan yang dianjurkan oleh secara Strategi Lautan Biru atau NBOS oleh Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional (JPNIN), Biro Tatanegara, Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Gabungan Rukun Tetangga Wilayah Persekutuan Labuan pada hari ini, amat tepat pada masanya diadakan dan bermanfaat kepada para pemimpin masyarakat.

“Ini kerana ilmu melalui seminar ini akan menjadi senjata utama kepada pemimpin-pemimpin akar umbi di Wilayah Persekutuan Labuan untuk bagaimana mereka boleh menangani dan berhadapan dengan pelbagai cabaran masakini, selaras dengan tujuan program ini diadakan,”.

Senator Dewan Negara, Datuk Bashir Alias berkata demikian ketika merasmikan penutupan seminar tersebut di Menara Perbadanan Labuan, di sini tengahari tadi.

“Saya yakin ilmu yang disampaikan oleh pakar-pakar sosial yang telah dijemput ini telah memperlengkapkan ‘skill’ kemahiran sebagai senjata dan memotivasikan semua pemimpin akar umbi Labuan dalam kerja-kerja sukarela mereka menangani dan berhadapan dengan pelbagai cabaran isu-isu sosial masa kini,” ujar Bashir yang juga merangkap Pengerusi Majlis Penasihat Perbadanan Labuan.

“Walaupun cabaran isu-isu sosial di Labuan tidaklah sehebat berbanding dengan negeri-negeri lain, namun di zaman teknologi ini, cabaran sebagai pemimpin akar umbi tidak lagi terhad, malah ianya lebih mencabar melalui aplikasi media sosial, yang tersebar dengan cepat dan pantas merentasi kaum,” ujar Bashir lagi.

Justeru perpaduan menjadi kekuatan dan nadi negara kita, tanpa semangat perpaduan, negara kita akan hancur, sekiranya perpaduan di negara kita tergugat, tambahnya.

“Oleh itu, saya ingin mengajak semua peserta dan pemimpin akar umbi di Labuan khasnya, agar bersama-sama menggunakan ilmu yang diperolehi pada hari ini untuk memelihara dan menjaga serta memantapkan perpaduan negara kita,” tambahnya lagi.

“Semaikanlah dalam diri kita ungkapan “Perpaduan Sentiasa Diihati, agar kita dapat menikmati hasil kemajuan dan kemakmuran negara kita dan menikmati hidup aman damai dan harmoni,” Bashir menambah lagi.

Seramai 150 peserta di kalangan pemimpin masyarakat akar umbi seperti ketua kampung dan badan-badan bukan kerajaan ( NGOs) serta ahli-ahli jawatankuasa utama Rukun Tetangga Labuan menyertai seminar selama satu hari tersebut.

Antara penceramah yang dijemput adalah Pengarah Bahagian Pengurusan Perpaduan JPNIN Malaysia, Zulkifli Hashim yang membawa tajuk Pengurusan Isu-Isu Sensitiviti Kaum Di Malaysia serta Pengarah MKN Sabah, Datuk Rodzi Md Saad yang menyampaikan tajuk Dasar Keselamatan Negara.

Turut hadir Pengarah JPNIN Labuan, Mimie D. Selvakumar serta pengerusi-pengerusi Rukun Tetangga Labuan.-Penerangan Labuan

Bashir (dua dari kanan) menyampaikan replika cek geran pengurusan rukun tetangga Labuan 2018 kepada wakil Rukun Tetangga Labuan sambil diperhatikan oleh Rodzi (kanan sekali), Zulkifli (tiga dari kiri) dan Mimie ( kiri sekali).

Komen


Berita Berkaitan