Sayang Sabah Facebook

Likes
Sayang Sabah Twitter

11,664

Followers

Sayang Sabah - Portal Berita Negeri Kita

Sembilan Gempa Susulan Di Kalimantan Sehingga Petang Ini

6:27pm 22/12/2015 Pak Roshan 204 views Isu Semasa,Mutakhir

tarakan

TAWAU : Jabatan Meteorologi Malaysia (JMM) merekodkan sembilan gegaran susulan sehingga petang ini di Kalimantan ekoran gempa bumi bermagnitud 6.2 pada skala Richter yang melanda wilayah Indonesia itu awal pagi semalam.

Menurut laman web jabatan berkenaan, gegaran 3.1 pada skala Richter dikesan pada pukul 12.07 pagi, 4.2 (8.01 pagi), 4.6 (8.18 pagi), 3.4 (8.20 pagi), 3.4 (10.55 pagi), 3.2 (11.07 pagi) dan 3.1 pada (11.30 pagi).

Kesemua pusat gempa berkenaan berlaku di antara 34-38 darjah Utara dan 116-119 darjah Timur dengan jarak antara 22-50 kilometer di Timur Laut Tarakan atau 90-105 kilometer di Barat Daya Tawau.

Rata-rata penduduk Tawau yang ditemui bagaimanapun berkata mereka cuma dapat merasai gegaran yang berlaku pada jam 8.18 pagi.

Kakitangan kerajaan yang bertugas di Wisma Persekutuan di Sabindo antara yang bergegas meninggalkan bangunan sebaik sahaja merasai gegaran itu.

Seorang pegawai kerajaan di Wisma Persekutuan, Rosma Wadin, berkata ketika kejadian dia baru memulakan tugas bila mendengar arahan agar mengosongkan pejabat.

“Ketika itu saya merasa gegaran. Beberapa minit kemudian, pengumuman dikeluarkan oleh pengurusan bangunan meminta kami keluar bangunan kerana gegaran berlaku akibat gempa,” katanya kepada Bernama.

Sementara itu, Imram Mokhsin, 45, seorang kakitangan Majlis Perbandaran Tawau, berkata ketika kejadian dia sedang bertugas bersama rakan setugas di pejabat bila tiba-tiba pejabat bergegar.

“Semua kakitangan dan orang awam yang sedang berurusan di pejabat diminta keluar bangunan,” katanya.

Seorang kakitangan kerajaan yang enggan namanya disiarkan pula berkata, beliau tidak menyedari kejadian gempa hari ini kerana ketika itu dia sedang memandu kenderaannya.

“Ketika sampai di pejabat saya melihat ramai orang berada di luar pejabat. Saya dah agak mesti gempa lagi ni,” katanya.

Bagaimanapun penduduk Tawau yang ditemui bersyukur kerana gempa ini tidak melibatkan kerosakan harta benda atau kehilangan nyawa.

Sementara itu, dua lagi gempa bumi kecil dilapor melanda wilayah Tarakan di Kalimantan sehingga pukul 3 petang ini.

JMM dalam satu kenyataan berkata gempa bumi itu berlaku pada pukul 1.21 petang dan 2.28 petang masing-masing dengan magnitud 3.3 dan 3.6 pada skala Richter, kira-kira 60 hingga 90 kilometer barat daya Tawau di Sabah.

“Gegaran mungkin dirasai di Tawau namun gempa itu tidak membawa ancaman tsunami,” menurut kenyataan itu.

— BERNAMA

Apa Komen dan Pendapat Anda

Artikel Berkaitan