Kota Kinabalu
Kota Kinabalu
Sandakan
Tawau
Lahad Datu
Keningau
Putatan
Semporna
Kudat
Papar
Ranau
Beaufort
Kota Belud

Sayang Sabah - Berita Negeri Kita

Semakin Ramai Umat Islam Lupakan Akhirat. Adakah Kita Salah Satunya?

Gambar Hiasan

“Jadikan akhirat di hatimu, dunia di tanganmu dan kematian di pelupuk matamu.” (Imam As-Syafie)

Umat Islam hari ini semakin alpa dengan dunia yang bersifat sementara. Keasyikan dan kemewahan dunia membuatkan umat Islam hari ini seakan kabur bahawa akhirat yang menjadi pengakhirannya.

Segelintir umat Islam hari ini sibuk mengejar populariti dan nama hingga ada yang menjadi penunggang agama tanpa disedari.

Ada juga yang sibuk dengan kerjaya dunia hingga lupa untuk sujud pada Sang Pencipta. Belum dikira, berapa ramai yang Islam hanya pada kad pengenalan sahaja.

Maka, tidak hairanlah jika dalam konteks negara kita, Malaysia munculnya sekelompok kecil golongan Islam liberal. Golongan yang mengatakan bahawa mereka mempunyai versi Islamnya yang tersendiri.

Sungguh mengecewakan!

“Wahai manusia!Sesungguhnya janji Allah itu benar,maka janganlah kehidupan dunia memperdayakan kamu dan janganlah (syaitan) yang pandai menipu, memperdayakan kamu tentang Allah.” (Surah Al-Fatir:5)

Berapa ramai di antara kita yang telah terpedaya dek syaitan durjana?

Sudah pastinya terlalu ramai hingga tidak terbilang dek jari yang boleh mengira. Wah, ini bukan kisah dongeng atau lagenda ‘Puteri Santubong, Puteri Sejinjang’, ini adalah kisah benar isu umat Islam masa kini.

Lihat sahaja negara kita di mana seantero dunia tahu bahawa kita adalah negara yang majoriti penduduknya beragama Islam.

Namun, saban hari ada sahaja kisah jenayah yang melibatkan umat Islam. Isu rasuah, pembunuhan dan dadah sudah seperti berita wajib yang saban hari disiarkan di media massa di mana hampir kesemua yang terlibat merupakan orang Islam.

Kes pembuangan anak luar nikah sudah seperti fenomena biasa di negara kita. Belum cerita, berkenaan isu perang saudara yang berlaku di negara-negara Islam yang lain. Sadis!

Pokok pangkalnya isu ini terjadi apabila umat Islam itu sendiri gagal mempratikkan nilai Islam dalam kehidupan seharian serta sifat wahan yang bermaharajalela dalam diri kita.

Kita lebih rela hidup bernafsukan syaitan dan budaya barat yang sememangnya banyak sisi negatif berbanding positif.

Sabda Rasulullah S.A.W, “Negeri yang paling baik adalah dunia bagi orang yang boleh mengambilnya untuk bekal di akhirat sehingga Tuhannya meredhai, sedang negeri yang paling buruk adalah dunia bagi orang yang membuatnya berpaling dari akhirat dan menghalang keredhaan Tuhannya.” (Riwayat Hakim)

Nah, hidup kita pasti akan lebih bahagia jika kita ada ilmu. Beramal pada ilmu pasti akan membibitkan rasa cinta yang lebih pada Sang Pencipta.

Bukankah sepatutnya begitu?

Namun sayang sekali, kerana hari ini ramai orang yang berilmu tetapi lupa untuk membibitkan rasa syukur pada Sang Pencipta.

Ilmu yang dipelajari hanya digunakan untuk menggenggam segulung ijazah bukannya kerana cinta kita terhadap ilmu tersebut.

Kita perlu berhati-hati dalam menimba ilmu supaya niat kita betul dan ikhlas serta mendapat keberkatan Allah SWT.

Indahnya, jika kita guna ilmu yang ada untuk terus taat pada Sang Pencipta. Jadikan ilmu yang ada sebagai jambatan kita untuk mendapat yang terbaik di akhirat sana dan kerjaya yang kita lakukan hari ini sebagai sumber pendapatan kita untuk menuju ke syurga Allah.

“Tiap-tiap yang bernyawa pasti akan merasai mati.” (Ali-Imran:185)

Ramai manusia lalai hari ini, hingga menjadi hamba pada dunia seperti kita akan hidup selamanya di dunia ini.

Ramai yang buat persiapan untuk kejayaan dunia tetapi hanya segelintir yang membuat persiapan untuk akhirat. Allahuakbar.

Sesungguhnya mati, tidak kenal pada usia. Bukankah seringkali kita dengar bayi yang baru sahaja lahir dari rahim ibu meninggal secara tiba-tiba?

Seorang kanak-kanak lemas ketika sedang bermandi-manda bersama keluarga? Seorang ayah yang baru berusia 30 tahun meninggal dunia secara mengejut akibat serangan jantung?

Haa, maka persiapan menuju akhirat itu perlu dilakukan pada setiap masa bukan tunggu selepas pencen baru mahu insaf. Bukannya selepas bergelar datuk dan nenek baru kenal apa itu solat dan masjid.

Ya, perkara inilah yang perlu diubah dalam persepsi masyarakat kita. Hidup kita sebagai apa Hamba dunia atau akhirat?

Tepuk dada, bukan tanya selera tapi tanyalah khabar iman kita. Sungguh, jika kita sering ingat akan kematian maka cinta akhirat pasti akan ada dalam diri kita.

Wah, manis bukan kalau kita menjadi umat yang sering kali ingat pada Sang Pencipta walau sibuk mana kita di dunia? Nah, Allah juga yang akan memberi ganjaran untuk kita.

Sabda Rasulullah SAW, “Puncak perkara ini adalah Islam, sesiapa yang masuk Islam maka ia akan selamat, tiang Islam adalah solat dan puncaknya adalah berjihad di jalan Allah.” (Riwayat Tabrani)

“Yang memisahkan seorang Muslim dengan kekufuran adalah meninggalkan solat” (Riwayat Muslim)

Wah, kalau kita membuat bancian terhadap umat Islam yang menunaikan solat dan tidak menunaikan solat, pasti pengsan dibuatnya. Kerana apa?

Terkejut, tergamam malah ada rasa sayu dalam hati melihatkan ramai umat Islam yang gagal menunaikan solat lima waktu sehari semalam. Kecewa bukan?

Solatlah, maka kita akan bahagia dunia akhirat.

Bagaimana pula dengan Al-Quran? Adakah ianya sekadar hiasan di rumah atau dijadikan teman penghibur lara dan duka?

Oh, sungguh bahagia rasanya jika Al-Quran itu bukan sekadar dibaca tetapi juga untuk diteliti dan difahami bersama. Kerana dalam Al-Quran itu terkandung seribu satu khasiat dan manfaat,lengkap sempurna.

Maka, berbahagialah kita menjadi insan yang terpilih menjadi penganut agama Islam yang mulia lagi sempurna.

Percayalah, selagi dahi kita sujud untuk menghadap Sang Pencipta maka kita akan bahagia. Selagi Al-Quran menjadi pendamping kita maka kita juga akan bahagia baik dunia mahupun akhirat sana.

“Dan katakanlah (Wahai Muhammad): Beramallah kamu, nescaya Allah,Rasul-Nya dan orang yang beriman akan melihat amalan kamu.” (Al-Taubah:105)

Sungguh Allah itu Maha Pemurah. Setiap manusia tidak lari daripada melakukan kesilapan. Oleh itu, kita perlu sentiasa memohon keampunan kepada Sang Pencipta.

Semoga ada keberkatan hidup kita di dunia sebagai hamba-Nya.

Nah, suka saya ingin kongsikan tips untuk hidup tenang lagi bahagia sebelum saya menutup penulisan saya yang tidak seberapa ini.

Pertama, jagalah solat lima waktu sehari semalam, solatlah pada awal waktunya.

Kedua, lazimkanlah membaca Al-Quran setiap hari walau sibuk manapun kita.

Ketiga, jadikanlah solat sunat tahajjud dan solat sunat dhuha itu sebagai amalan seharian kita.

Keempat, amalkan solat sunat taubat setiap hari sebelum melelapkan mata.

Kelima, amalkanlah puasa sunat pada setiap hari Isnin dan Khamis.

Percayalah, dengan itu, anda akan lebih bahagia.

(Sumber: iluvislam oleh Nur’Aina Munirah binti Zulkafli)

Komen


Berita Berkaitan