Sayang Sabah Facebook

Likes
Sayang Sabah Twitter

11,821

Followers

Sayang Sabah - Portal Berita Negeri Kita

Semakan Semula Perjanjian Malaysia Untuk Kukuhkan Negara

ma63

Menteri Belia dan Sukan Sabah Datuk Tawfiq Datuk Abu Bakar Titingan (tiga, kiri), Presiden Parti Cinta Sabah (PCS), Datuk Seri Wilfred Bumburing (dua, kiri), Datuk Maijol Mahap dari Parti Keadilan Rakyat (empat, kiri), Presiden Parti Refomasi Sarawak (STAR) Lina Soo (kiri) dan Penganalisis Politik dari Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) Dr Arnold Puyok (dua, kanan) pada sesi bual bicara tentang pembentukan Malaysia

KOTA KINABALU : Langkah untuk menyemak semula Perjanjian Malaysia yang berusia 53 tahun adalah satu tindakan untuk mengukuhkan negara, kata Menteri Belia dan Sukan Sabah Datuk Tawfiq Abu Bakar Titingan.

Beliau berkata ia juga menunjukkan kesediaan kerajaan untuk membina negara berdasarkan matlamat asalnya, di samping menamatkan rungutan daripada akar umbi.

“Kami agak gembira kerana kerajaan persekutuan terbuka kepada idea untuk mengkaji semula apakah hak-hak (rakyat) yang telah terhakis, atau belum dimasukkan (dalam Perlembagaan Persekutuan) atau mungkin telah terlepas pandang.

“Tiada siapa yang pernah menyatakan butir-butir (spesifik) hak rakyat (yang digariskan dalam Perjanjian Malaysia) dan saya fikir kita perlu merebut peluang untuk berbuat demikian menerusi jawatankuasa teknikal yang ditubuhkan untuk mengkaji perkara ini,” katanya kepada Bernama di sini Rabu.

Beliau berkata demikian selepas menjadi ahli panel dalam satu rancangan temu bual yang dirakam untuk program dalam talian ‘Airtime with Ronnie Klassen’, yang dijadualkan akan dimuat naik dalam laman Facebook program itu hari ini.

Pada Jun, satu jawatankuasa teknikal, yang dipengerusikan bersama oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri Nancy Shukri dari Sarawak dan Menteri Luar, Datuk Seri Anifah Aman dari Sabah, ditubuhkan untuk mengkaji penurunan kuasa kepada kedua-dua kerajaan negeri itu.

Jawatankuasa itu akan mengenal pasti isu kegagalan pematuhan dalam konteks Laporan Jawatankuasa Antara Kerajaan (IGC), Perjanjian Malaysia 1963, Akta Malaysia 1963 dan Perlembagaan Persekutuan serta Laporan Suruhanjaya Cobbold, dan akan menyediakan syor serta penyelesaian untuk pertimbangan kerajaan persekutuan.

Sementara itu, Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tamparuli Datuk Wilfred Bumburing berkata semakan semula Perjanjian Malaysia itu telah lama tertangguh kerana ia sepatutnya dibuat 10 tahun selepas pembentukan negara.

Bagaimanapun, beliau gembira bahawa kerajaan bijak menangani rungutan rakyat dengan membentuk jawatankuasa teknikal.

Setiausaha Parti Keadilan Rakyat Sabah Datuk Maijol Mahap pula mengakui bahawa desakan pembangkang supaya Perjanjian Malaysia dikaji semula, adalah untuk menunjukkan rasa cinta kepada negara.

Bagaimanapun, dengan ledakan maklumat menerusi platform media sosial, beliau berkata, kerajaan perlu pantas menangani rasa tidak puas hati rakyat, khususnya mengenai hak-hak mereka yang dipercayai tidak dipenuhi.

Pensyarah Kanan di Fakulti Sains Sosial Universiti Malaysia Sarawak (Unimas), Dr Arnold Puyok berkata kerajaan perlu responsif terhadap keperluan rakyat dan memastikan keselamatan mereka.

Ini, katanya, adalah juga satu tindakan patriotisme kerajaan dalam memastikan kesejahteraan rakyatnya.

Presiden Parti Reformasi Sarawak Lina Soo berkata butir-butir mengenai hak rakyat dinyatakan dengan jelas dalam Perjanjian Malaysia, oleh itu ia harus dilaksanakan.

— BERNAMA

Apa Komen dan Pendapat Anda

Artikel Berkaitan