Sayang Sabah Facebook

Likes
Sayang Sabah Twitter

11,752

Followers

Sayang Sabah - Portal Berita Negeri Kita

‘Selamat tinggal’

10:59am 25/06/2016 Pak Roshan 22 views Global
Bot tunda menari arang batu di Sungai Mahakam, Samarinda, Kalimantan Timur

Wajah kecewa penyokong ‘Remain’

London: United Kingdom (UK) semalam mengundi keluar dari Kesatuan Eropah (EU) selepas kempen referendum sengit yang membahagikan rakyat, menghuru-harakan senario politiknya dan menggugat kestabilan blok yang diwujudkan separuh abad lalu untuk mengelak Perang Dunia Ketiga.

Sehubungan itu, pelbagai rundingan perlu dilakukan dijangka memakan lebih dua tahun untuk Britain dan EU memisahkan ekonomi yang terjalin sejak UK menyertai blok berkenaan pada 1 Januari 1973.

Proses itu mungkin mengambil beberapa dekad untuk selesai sepenuhnya. UK kekal anggota EU – yang kini dianggotai 27 negara saja – sehingga perbincangan selesai.

Pemimpin Parti Kemerdekaan Nigel Farage berkata: “Inilah permulaan UK yang merdeka. Biar 23 Jun sentiasa diingati sebagai hari kemerdekaan kita!”

Perdana Menteri David Cameron turut mengumumkan peletakan jawatannya dengan keputusan berkenaan.

Kempen ‘Leave’ (keluar) meraih 52 peratus undian, kata suruhanjaya pilihan raya UK semalam, dengan 72 peratus daripada lebih 46 juta pengundi berdaftar keluar mengundi.

Keputusan undian semalam mengejutkan pelabur dengan pasaran saham di seluruh dunia turut terjejas.

Mata wang pound merudum lebih 10 peratus dalam tempoh enam jam ekoran kebimbangan memutuskan hubungan dengan Eropah menjejaskan ekonomi UK dan kedudukan London sebagai pusat kewangan global.

UK negara utama pertama keluar dari EU yang dibina susulan Perang Dunia Kedua dalam usaha pemimpin benua itu merapatkan hubungan dan mengelak perbalahan.

Memandangkan ini kali pertama ia berlaku, kesannya terhadap pasaran tunggal dengan 500 juta orang itu – ekonomi terbesar dunia – sukar dijangka.

Undian pendapat seminggu menjelang proses pengundian menunjukkan saingan sengit antara dua kelompok pengundi, tetapi sejak beberapa hari lalu menampakkan lebih ramai memilih ‘Remain’ (kekal).

Seorang pengundi yang memilih ‘Leave,’ Jonathan Campbell James berkata: “Ini membuktikan demokrasi yang semakin matang sejak diamalkan lebih 1,000 tahun di Britain.”

Bagaimanapun, tidak kurang yang kecewa dengan hasil referendum.

“Sebenarnya saya menyampah dengan keputusan ini. Tidak tahulah apa nasib kami selepas ini, terutama yang mahu membina masa depan dengan anak-anak,” kata Olivia Sangster-Bullers, 24.

Susulan kemenangan dalam pilihan raya tahun lalu, Cameron memperkenalkan pembaharuan untuk melindungi kedaulatan Britain dan menghalang kemasukan pendatang EU bagi mengambil kesempatan menuntut manfaat ditawarkan untuk rakyatnya.

Namun, pengkritik melihat tindakan itu lebih memaksa Britain tunduk kepada Brussels selain gagal mengekang kemasukan pendatang Eropah yang masuk ke UK sejak EU berkembang ke timur benua itu pada 2004.

Keadaan semakin diterukkan dengan krisis pelarian sejak setahun lalu yang melihat lebih sejuta orang Asia Barat dan Afrika membanjiri EU. – AP/HMetro

Apa Komen dan Pendapat Anda

Artikel Berkaitan