Sayang Sabah Facebook

Likes
Sayang Sabah Twitter

11,796

Followers

Sayang Sabah - Portal Berita Negeri Kita

Selamat Hari Krismas dan Tahun Baru 2016

6:28pm 24/12/2015 Elezebeth Esther Onjining 241 views Rencana,Tempatan
Gambar hiasan

Gambar hiasan

Tanggal 25 Disember, telah tiba dan seperti tahun tahun yang lepas penganut ugama Kristian di seluruh dunia akan merayakan hari natal atau hari krismas. Mereka menyambut hari tersebut untuk meraikan hari kelahiran Yesus.

Perayaan ini disambut dalam pelbagai cara untuk mencerminkan kepelbagaian budaya dan tradisi yang terdapat di sesebuah negara. Disamping itu, aktiviti menghias pokok krismas dengan hiasan berwarna-warni tidak asing lagi bagi mereka yang merayakan perayaan tersebut. Ada sesetengah kawasan akan mula menghiasi pokok
krismas sebulan sebelum perayaan itu. Hal demikian untuk memeriahkan lagi hari perayaan tersebut.

Sama seperti hari perayaan agama lain, penganut agama Kristian juga akan pergi ke Gereja pada malam krismas iaitu jatuh pada tanggal 24 Disember, setiap tahun dan juga pagi Krismas, 25 Disember untuk
mendengar khutbah sempena hari krismas.

Disamping itu, kebanyakan gereja juga mengamalkan upacara nyanyian karol yang akan dipersembahkan di dalam suasana nyalaan lilin. Selain itu, mereka juga akan pergi rumah ke rumah untuk mempersembahkan nyanyian yang
mempunyai bacaan suci dari kitab Injil.

Bagi Alexander Pini, 23 setiap tahun beliau bersama seisi keluarga akan pergi ke gereja dan meraikan hari perayaan ini.

“Gereja merupakan salah sebuah tempat bukan sahaja untuk beribadat tetapi untuk berkumpul bersama jiran-jiran dan juga masyarakat setempat”, katanya.

Tradisi bertukar hadiah

Sejarah tradisi bertukar hadiah semasa perayaan Krismas ini telah bermula sejak awal abad keempat. Ia bermula apabila St. Nicholas telah terpilih menjadi bishop di Myra yang sekarang ini dikenali sebagai Negara Turki pada hari ini.

Terdapat beberapa versi cerita berkenaan St. Nicholas. Diantaranya ialah, St. Nicholas dikatakan membantu mereka yang memerlukan secara rahsia. Bagi masyarakat setempat, ia merupakan hadiah yang terbaik kepada mereka.

Walaubagaimanapun, seperti hari-hari perayaan kaum yang lain, ini merupakan masa yang terbaik kepada semua penganut Kristian untuk berkumpul bersama ahli keluarga mereka dan juga rakan-rakan mereka.

Sesi bertukar hadiah merupakan salah satu aktiviti yang sering kali dilakukan oleh bukan sahaja masyarakat Kristian di Sabah tetapi juga kebanyakan masyarakat di seluruh dunia.

Bagi Gloria Jane Yaem, 23, berkata aktiviti bertukar hadiah itu merupakan acara tahunan yang akan dilakukan bersama seisi keluarganya.

“Keluarga kami telah mengamalkan tradisi bertukar hadiah itu sejak saya kecil lagi. Ia merupakan detik yang paling mengembirakan bagi saya kerana setiap tahun saya akan mendapat banyak hadiah bukan sahaja
daripada kedua ibubapa saya tetapi dari sahabat handai saya juga”, katanya.

Namun bagi Fabian William, 35, pada hari perayaan Krismas beliau selalunya akan mengikuti program melawat anak-anak yatim yang dianjurkan oleh pihak gereja dan meraikan perayaan tersebut
bersama mereka.

“Saya tidak mengamalkan tradisi bertukar hadiah ini tetapi sebaliknya saya yang akan memberikan hadiah kepada mereka yang memerlukan.

“Walaupun saya tidak menerima apa-apa hadiah daripada mereka (anak-anak yatim) tetapi melihat kegembiraan yang terpancar di muka mereka membuatkan saya berasa puas hati dan gembira”, katanya.

Tahun Baru 2016

Tahun baru adalah suatu budaya yang diamalkan oleh masyarakat di seluruh dunia dengan merayakan berakhirnya masa satu tahun. Ini menandakan bermulanya perhitungan bagi tahun yang akan datang.
Sambutan tahun baru ini dikatakan dirayai oleh negara yang menggunakan kalendar tahunan yang diperkenalkan oleh Negara Eropah.

Tahun Baru di Malaysia diraikan bermula pada malam 31 Disember. Pada setiap pertukaran tahun yang baharu, masyarakat setempat akan membuat refleksi diri dimana mereka akan luangkan sedikit masa untuk mengimbas kembali apa yang telah mereka lakukan sepanjang tahung tersebut.

Dengan memasuki tahun yang baharu, masyarakat setempat akan membuat resolusi mereka apa yang mereka ingin lakukan pada tahun yang akan datang. Ini termasuklah azam untuk melaksanakan atau mencapai impian
yang mereka belum capai dan juga menetapkan azam baru yang hendak dicapai pada tahun 2016.

Menetapkan matlamat atau azam yang baharu merupakan motivasi bagi kita, kerana jika kita mempunyai motivasi untuk diri sendiri, contohnya untuk memajukan diri, sudah tentu kita akan berusaha sedaya upaya kita untuk mencapai matlamat atau azam dalam tahun tersbut.

Disamping itu, ia juga merupakan pendorong kepada kita untuk menguatkan diri dalam menghadapi apa jua rintangan yang bakal kita tempuhi pada sepanjang tahun tersbut demi untuk mencapai apa yang kita
ingini.

Bagi Erick Jonathan Stephen, 20, azam beliau bagi tahun 2016 ialah untuk menghabiskan pengajian beliau sebagai seorang pembantu perubatan dengan jayanya.

“Azam saya pada tahun hadapan ialah ingin berjaya dalam pengajian saya dalam bidang tersebut. Setelah itu, saya ingin mendapatkan pekerjaan sekaligus menyimpan wang untuk masa depan saya dan keluarga”, katanya.

Manakala bagi Nurul Fathnie Rustam, 23, beliau berharap agar mendapat lebih banyak pengalaman dalam seorang wartawan penyiaran yang berjaya.

“Seperti orang lain, azam saya ialah untuk menimba ilmu dengan wartawan-wartawan penyiaran yang telah berjaya dalam bidang ini agar dengan ilmu yang saya bakal peroleh itu, saya boleh menjadi wartawan penyiaran yang berjaya”, katanya.

Semoga tahun 2016 menjadi satu tahun dimana semua orang khususnya di negeri ini dapat mencapai matlamat mereka. Sehubungan dengan itu, seluruh warga kerja SayangSabah yang diketuai oleh Ketua Editor, Anna Vivienne mengucapkan Selamat Hari Natal dan Selamat Tahun Baru 2016 kepada seluruh masyarakat Sabah.– Oleh Elezebeth Esther/SayangSabah

 

 

Apa Komen dan Pendapat Anda

Artikel Berkaitan