Sayang Sabah Facebook

Likes
Sayang Sabah Twitter

11,822

Followers

Sayang Sabah - Portal Berita Negeri Kita

Sektor Pertanian Terima Peruntukan Kedua Terbesar Bajet 2016 Sabah

9:44am 21/11/2015 Pak Roshan 67 views Kota Kinabalu,Mutakhir,Tempatan

pertanianpelancongan

KOTA KINABALU : Sektor pertanian merupakan penerima kedua terbesar dalam Bajet 2016 Sabah dengan peruntukan berjumlah RM469.50 juta, selepas sektor infrastruktur dan kemudahan awam.

Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Musa Aman berkata peruntukan besar itu diberikan kerana pertanian dijangka kekal menjadi nadi utama penjana ekonomi negeri pada tahun hadapan.

“Oleh itu, kerajaan negeri akan terus menyokong pembangunan sektor ini sebagai satu daripada sektor yang diberikan keutamaan dalam Bajet 2016,” katanya ketika membentang Bajet 2016 Sabah di Dewan Undangan Negeri Sabah di sini, hari ini.

Melalui peruntukan itu, katanya kerajaan akan memberi fokus kepada subsektor tanaman dalam sektor pertanian seperti pembangunan tanaman padi, buah-buahan, sayur-sayuran, tanaman singkat masa dan tanaman industri melalui beberapa projek utama.

Antara projek yang akan dimantapkan ialah Projek Taman Kekal Pengeluaran Makanan (TKPM), Program Penyelidikan Pertanian, Program Pembangunan Tanaman Padi, Program Penanaman Semula Getah dan Pembangunan Industri Hiliran Kelapa Sawit.

“Untuk itu, sebanyak RM169.85 juta akan diperuntukkan (untuk subsektor) berkenaan pada tahun depan,” katanya.

Musa yang juga Menteri Kewangan Sabah berkata kerajaan akan memperuntuk sebanyak RM47.76 juta untuk mentransformasi subsektor perikanan secara menyeluruh bagi menjadikannya lebih dinamik, produktif dan komersil.

“Kerajaan berhasrat meningkatkan pengeluaran ikan dan hasil perikanan ke tahap 423,360 tan metrik setahun,” katanya.

Bagi subsektor ternakan pula, kerajaan memperuntuk RM71.02 juta melalui Jabatan Perkhidmatan Haiwan dan Perusahaan Ternak bagi meningkatkan pengeluaran hasil ternakan untuk pasaran tempatan dan eksport.

Musa berkata Sabah mempunyai banyak kelebihan termasuk pengiktirafan negeri ini sebagai zon bebas penyakit ternakan seperti Penyakit Kuku dan Mulut (FMD) oleh Pertubuhan Kesihatan Haiwan Dunia, yang membolehkannya mengeksport produk susu,telur dan daging ayam ke negara luar termasuk Vietnam, Maldives, Timor Leste dan Sierra Leone.

Selain itu, kerajaan negeri memperuntuk RM122.62 juta bagi infrastruktur sokongan pertanian dalam usaha menyediakan kemudahan pengairan lebih baik kepada sektor penanaman padi dan pelaksanaan program mitigasi banjir di seluruh Sabah.

— BERNAMA

Apa Komen dan Pendapat Anda

Artikel Berkaitan