Kota Kinabalu
Kota Kinabalu
Sandakan
Tawau
Lahad Datu
Keningau
Putatan
Semporna
Kudat
Papar
Ranau
Beaufort
Kota Belud

Sayang Sabah - Berita Negeri Kita

Sekolah dalam hospital bakal dibina di Tawau

Mary Yap (kanan) sempat meluangkan masa beramah mesra dengan pesakit yang sedang mendapatkan rawatan ketika program itu.
Mary Yap (kanan) sempat meluangkan masa beramah mesra dengan pesakit yang sedang mendapatkan rawatan ketika program itu.

TAWAU – Mewujudkan sekolah dalam hospital dan merealisasikan sekolah amanah, itu perancangan dalam aspek pendidikan disasar pada tahun 2015 bagi kawasan Parlimen Tawau.

Ahli Parlimennya, Datuk Mary Yap Kain Ching berkata, menjadi impiannya untuk melihat kedua-dua jenis sekolah berkenaan akan wujud, sekaligus mengubah landskap pendidikan di daerah ini keseluruhannya.

“Kita mahu daerah ini memiliki sekolah dalam hospital bagi kemudahan pelajar-pelajar yang mendapatkan rawatan agar mereka tidak tercicir untuk mendapatkan pendidikan yang lebih baik. Kita juga mahu sekolah amanah diwujudkan di negeri ini sama seperti di Johor dan Sarawak. Misi kita hanya perlu mencari penaja bagi meralisasikan sekolah berkenaan,” katanya.

Mary berkata, program pendidikan di daerah ini dijangka bertambah rancak apabila institusi pengajian tinggi Open University bakal dirasmikan secara dalam talian yang akan beroperasi di Bandar Sri Indah pada April depan.

“Open University ini akan menawarkan pengajian pada peringkat ijazah sarjana muda, ijazah lanjutan dan doktor falsafah yang akan memberi manfaat khasnya kepada para pelajar di daerah ini,” jelasnya sambil menambah akan terus komited dalam memastikan golongan yang perlu dibantu terus mendapat perhatian sewajarnya.

Beliau juga mahu kesemua 52 buah kampung di kawasan Parlimen Tawau terus diberi fokus dengan pelbagai perancangan yang lebih sistematik dalam membantu rakyat yang memerlukan.

“Kita juga mahu mengadakan kolaborasi yang lebih baik dengan rukun-rukun tetangga yang ada agar mereka lebih giat menjalankan pelbagai program yang lebih bermanfaat kepada masyarakat keseluruhannya,’’katanya.

Mengulas lanjut, Mary berkata, pelbagai program akan dirancang pada tahun hadapan yang bukan sahaja tertumpu kepada program menaiktaraf pembangunan tetapi juga program yang diimpikan penduduk di daerah ini. – oleh Masani Sandan / SayangSabah

Komen


Berita Berkaitan