Sayang Sabah Facebook

Likes
Sayang Sabah Twitter

11,653

Followers

Sayang Sabah - Portal Berita Negeri Kita

Sekatan Laman TMI Kerana Kandungan Kelirukan Rakyat

10:26am 27/02/2016 Pak Roshan 105 views Mutakhir,Nasional
Datuk Seri Salleh Said Keruak

Datuk Seri Salleh Said Keruak

SHAH ALAM – Tindakan menyekat laman The Malaysian Insider (TMI) semalam dibuat selepas siasatan mendapati kandungan artikel yang diterbitkan portal itu dikhuatiri boleh mengelirukan rakyat.

Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Dr. Salleh Said Keruak berkata ini kerana ada antara artikel TMI dilihat memetik sumber tidak dinamakan termasuk penerbitan penulisan mengenai Panel Penilaian Operasi yang bertindak sebagai penasihat kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Beliau berkata tindakan TMI berkenaan bertentangan dengan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 apabila maklumat tanpa sumber sahih yang diterbitkan itu bercanggah dengan kenyataan rasmi suruhanjaya terbabit.

“Apabila artikel yang dikeluarkan bercanggah dan dipetik daripada sumber (berita) yang tidak diketahui, sudah tentulah kandungan kenyataan itu akan kelirukan rakyat.

“Ini tidak adil… maka kita ambil tindakan dan membuat penyiasatan terhadap TMI,” katanya kepada pemberita di sini Jumaat.

Beliau sebelum itu merasmikan Karnival Karangkraf 2016 di Kompleks Karangkraf di sini yang berlangsung selama tiga hari sehingga Ahad ini.

Semalam, SKMM menerusi satu kenyataan mengumumkan sekatan terhadap TMI ekoran tindakan portal berkenaan mengeluarkan kandungan yang menjurus kepada kesalahan mengikut Seksyen 233, Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

Susulan itu, Panel Penilaian Operasi berkenaan pula mengeluarkan kenyataan rasmi yang menyangkal ia “mempunyai cukup bukti untuk mendakwa Najib berhubung SRC” seperti dilaporkan TMI semalam.

Salleh berkata SKMM sedang bekerjasama rapat dengan Polis Diraja Malaysia bagi menyiasat isu berkenaan dan menyatakan pengarang TMI juga akan dipanggil bagi memberi keterangan.

Ketika ditanya mengenai tindakan yang boleh dikenakan terhadap TMI, beliau berkata banyak undang-undang boleh digunakan bagi isu berkenaan namun hukuman bergantung kepada kesalahan yang dilakukan.

Jelas beliau, sekatan kepada mana-mana portal atau laman sesawang adalah berdasarkan kepada aduan awam dan ia bukan tindakan yang boleh dibuat sewenang-wenangnya.

“Jika ada asasnya, kita akan lakukan siasatan awal dan langkah ini tidak menyebelahi mana-mana pihak kerana ada prosedur tertentu sebelum menyekat laman sesawang sehingga lengkap siasatan tersebut,” katanya.

Dalam pada itu, Salleh berkata sebagai sebuah negara yang mengamalkan hak kebebasan bersuara, rakyat dibenar untuk menyuarakan perbezaan pendapat mengenai kerajaan namun ia mesti dibuat dengan cara yang betul.

Ini kerana, katanya, kerajaan sentiasa menerima pendapat masyarakat malah tidak mengenakan kawalan sekiranya rakyat mahu menyatakan pandangan masing-masing.

“Tetapi kena berhati-hati dengan setiap lontaran pandangan mereka terhadap sesuatu isu bagi mengelakkan kekeliruan dan timbulnya hal lain,” katanya. – BERNAMA

Apa Komen dan Pendapat Anda

Artikel Berkaitan