Kota Kinabalu
Kota Kinabalu
Sandakan
Tawau
Lahad Datu
Keningau
Putatan
Semporna
Kudat
Papar
Ranau
Beaufort
Kota Belud

Sayang Sabah - Berita Negeri Kita

SEJUMLAH RM215 JUTA DIPERUNTUKKAN UNTUK CEGAH BANJIR DI TENOM

Radin, Madiyem, Andy dan Lanree menaiki bot Jabatan Bomba dan Penyelamat Tenom semasa meninjau runtuhan tebing sungai Padas dan Pegalan pada 27 Julai 2015
Radin, Madiyem, Andy dan Lanree menaiki bot Jabatan Bomba dan Penyelamat Tenom semasa meninjau runtuhan tebing sungai Padas dan Pegalan pada 27 Julai 2015

Tenom- Sejumlah RM215 juta telah disenaraikan dalam Rancangan Malaysia ke-11 (RMK11) yang akan bermula pada tahun 2016 bagi melaksanakan cadangan Projek Penstabilan Tebing-tebing Sungai Padas dan Sungai Pegalan serta Rancangan Mencegah Banjir di daerah Tenom.

Walaupun cadangan projek itu akan melibatkan kos perbelanjaan yang tinggi, ia penting untuk dilaksanakan oleh kerajaan bagi mengurangkan kadar keruntuhan tebing sungai-sungai berkenaan yang boleh menjejaskan keselamatan penduduk serta merosakkan harta benda awam terutamanya semasa banjir.

Menteri Pembangunan Luar Bandar Sabah, Datuk Radin Malleh berkata kepada media selepas mengadakan lawatan kerja meninjau runtuhan tebing-tebing Sungai Padas dan Sungai Pegalan dengan menggunakan bot milik Jabatan Bomba dan Penyelamat Tenom pada hari Isnin lepas.

Turut serta dalam lawatan kerja itu ialah Pegawai Daerah Tenom, Madiyem Layapan, Jurutera Daerah Keningau/Tenom,Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Sabah, Pegawai Penguasa JPS Tenom, Andy Fung serta wakil-wakil jabatan kerajaan berkenaan.

Radin yang juga Adun Melalap menambah laporan tinjauan itu akan menjadi input tambahan bagi kerajaan terutamanya Jabatan Pengairan dan Saliran Sabah yang akan menjadi agensi pelaksana projek-projek berkenaan.

“Selain menambak tebing sungai-sungai berkenaan, kerja-kerja meluruskan sungai dan mendalamkan dasar sungai juga akan dilaksanakan oleh kerajaan nanti,” katanya.

“Dengan adanya laporan tinjauan itu, saya yakin kerajaan khususnya kerajaan persekutuan akan dapat memberikan peruntukan tambahan kepada kerajaan negeri untuk menangani masalah-masalah hakisan tebing-tebing sungai berkenaan,” katanya.

Hakisan tebing sungan di Sungai Padas Tenom
Hakisan tebing sungan di Sungai Padas Tenom

Beliau menambah tinjauan runtuhan tebing-tebing sungai itu juga adalah yang susulan kepada tinjauan pertamanya bersama jabatan-jabatan berkenaan pada 29 Disember 2004.

“Semasa tinjauan saya yang pertama pada tahun 2004, kami berjaya sampai ke Kg. Liuh dengan bot.

“Namun, pada lawatan kedua saya ini pula, bot kami tidak dapat sampai ke Kg.Liuh dan kami terpaksa mendarat di Kg. Kallang Kanar kerana dasar sungai Pegalan yang semakin cetek akibat mendapan,” tambahnya lagi.

Berdasarkan kajian, arus sungai yang kuat dikenalpasti sebagai salah satu faktor yang menyebabkan mempercepatkan keruntuhan tebing-tebing sungai berkenaan, katanya.

Runtuhan tebing sungai itu lama-kelamaan akan meningkatkan kadar mendapan di dasar sungai-sungai berkenaan serta mencetekkan sungai-sungai itu, katanya.

Beliau menambah kecetekan dasar sungai-sungai terbabit akibat mendapan menyebabkan banjir mudah berlaku sehingga menjejaskan kehidupan ramai penduduk di sepanjang tebing sungai-sungai berkenaan.

Hakisan tebing sungai Pegalan
Hakisan tebing sungai Pegalan

Justeru itu, katanya kerajaan harus segera melaksanakan projek memulihkan tebing-tebing sungai dan mendalamkan dasar sungai-sungai berkenaan demi keselamatan nyawa dan harta benda awam di daerah Tenom.

Beliau juga mengingatkan para penduduk yang tinggal berhampiran dengan tebing sungai-sungai berkenaan supaya sentiasa berwaspada dan melaporkan kejadian tebing sungai yang runtuh kepada pihak berkuasa untuk tindakan susulan pihak-pihak berkenaan.- SayangSabah.

Komen


Berita Berkaitan