Portugal mampu memberi nasib sama yang ditempuh mereka dalam final Euro 2004 kepada Perancis di Saint-Denis, namun pasukan tuan rumah belum pernah tewas kepada lawannya itu hampir sepuluh tahun sebelum Cristiano Ronaldo dilahirkan.

PERTEMUAN LALU

*Perancis mempunyai rekod yang lebih baik dalam 24 pertemuan bersama Portugal: menang 18, seri dua, kalah lima.

*Perancis menang 10 perlawanan berturut-turut ke atas Portugal sebelum ini, terbaru 1-0 dalam perlawanan persahabatan di Lisbon pada September 2015.

*Kemenangan berturut-turut itu dicatatkan sejak mereka tewas 2-0 kepada Portugal kira-kira 40 tahun lalu dalam perlawanan persahabatan di Parc des Princes pada April 1975.

FAKTA FINAL

*Juara kejohanan memenangi perlawanan mereka tanpa bolos dalam tiga final Euro sebelum ini.

*Kali terakhir peminat menyaksikan final yang berlanjutan ke masa tambahan adalah ketika Euro 2000 apabila Perancis menang 2-1 ke atas Itali dengan gol emas dijaringkan oleh David Trezeguet.

*Satu-satunya Euro yang berdepan dengan sepakan penalti penentuan dalam perlawanan akhir adalah pada tahun 1976 apabila Czechoslovakia menewaskan Jerman Barat 5-3 setelah kedudukan terikat 2-2 selepas 120 minit perlawanan.

*Ini merupakan kali kelima perlawanan akhir berlangsung di Stade de France sama ada untuk pasukan kebangsaan atau kelab. Empat perlawanan sebelum ini adalah: Brazil 0-3 Perancis (Piala Dunia 1998), Real Madrid 3-0 Valencia (Liga Juara-juara 1999/2000), Cameroon 0-1 Perancis (gol emas, Piala Konfederasi 2003), Barcelona 2-1 Arsenal (Liga Juara-juara 2005/2006).

STATISTIK PENTING

*Perancis merupakan pasukan paling prolifik di peringkat final dengan menjaringkan 13 gol bersamaan purata 2.17 gol setiap perlawanan, berbanding purata 1.33 gol dengan lapan jaringan untuk Portugal. Perancis mempunyai kelebihan sembilan gol, manakala tiga untuk Portugal.

*Perancis dan Portugal bakal beraksi dalam final Euro 2016 dengan jumlah percubaan tepat yang sama iaitu 36. Hanya Jerman (37) mengatasi mereka.

*Perancis sudah lima kali menggegarkan tiang gol dalam kejohanan ini manakala percubaan Portugal yang terkena tiang gol adalah sebanyak dua kali.

*Portugal adalah pasukan yang paling banyak mendapat sepakan penjuru iaitu sebanyak 45 kali dengan purata 7.5 setiap perlawanan.

*Portugal juga merupakan pasukan yang paling banyak mendapat sepakan bebas dalam kejohanan ini iaitu 85 kali, 24 kali lebih banyak daripada Perancis.

*Setakat ini, Griezmann adalah penjaring terbanyak kejohanan dengan enam gol manakala pencabar terdekatnya sebanyak enam orang yang masing-masing menjaringkan tiga gol, termasuk Ronaldo.

*Griezmann dan Ronaldo masing-masing melakukan 12 percubaan tepat setakat ini, namun Ronaldo membuat percubaan paling banyak dengan 47 percubaan.

*Ronaldo dan Rui Patricio beraksi di atas padang dalam kejohanan ini lebih lama berbanding pemain lain dengan masa keseluruhan masing-masing 600 minit. Hugo Lloris, Patrice Evra dan Bacary Sagna beraksi selama 540 minit dan merupakan pemain paling kerap digunakan Perancis.

SEPAKAN PENALTI PENENTUAN

*Rekod Portugal adalah menang tiga, kalah satu:

6-5 lawan England (suku akhir Euro 2004)

3-1 lawan England (suku akhir Piala Dunia 2006)

2-4 lawan Sepanyol (separuh akhir Euro 2012)

5-3 lawan Poland (suku akhir Euro 2016)

*Rekod Perancis dalam enam kejohanan sebelum ini adalah menang tiga, kalah tiga:

4-5 lawan Jerman Barat (separuh akhir Piala Dunia 1982)

4-3 lawan Brazil (suku akhir Piala Dunia 1986)

5-4 lawan Belanda (suku akhir Euro 1996)

5-6 lawan Republik Czech (separuh akhir Euro 1996)

4-3 lawan Itali (suku akhir Piala Dunia 1998)

3-5 lawan Itali (final Piala Dunia 2006)

*Belum pernah ada pasukan yang memenangi lebih daripada satu sepakan penalti penentuan dalam kejohanan Euro yang sama. – AGENSI